PETALING JAYA: Tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) terhadap UMNO merupakan satu usaha mengharamkan parti itu dan mendatangkan implikasi besar terhadap keputusan Majlis Tertinggi (MT) khususnya membabitkan penarikan sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ahli MT UMNO, Datuk Mohd. Razlan Rafii menegaskan, pihak berkenaan sanggup meletakkan nyawa UMNO ‘ibarat telur di hujung tanduk’ apabila mengumumkan keputusan parti lalu iaitu menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.
Beliau menjelaskan, keputusan UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan bertujuan mempertahankan rakyat, maruah Perlembagaan Persekutuan dan kesucian Melayu-Islam dengan parti itu amat konsisten terhadap perkara berkenaan sepanjang zaman.
“Ini adalah satu tindakan subahat dilakukan kumpulan mahukan perubahan struktur dalam UMNO apabila mereka berpandangan untuk parti menang pada masa akan datang, perubahan parti mesti dilakukan walaupun sudah beberapa kali MT berpendirian meneruskan pemilihan, namun, keadaan Covid-19 tidak membenarkan ia dilakukan.
“Tindakan RoS memutuskan bahawa tempoh MT hari ini sudah terhenti, malah, ia bukan datang tanpa restu kumpulan menyokong PN hari ini,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
RoS sebelum ini memaklumkan keputusan UMNO menangguhkan pemilihan MT, Bahagian dan Cawangan selama 18 bulan adalah tidak sah kerana perkara itu sebagaimana terkandung dalam minit mesyuarat MT UMNO pada 7 Julai lalu.
Jabatan itu berpandangan, ketetapan itu adalah kerana tempoh pemegang jawatan MT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun lalu.
Pada masa sama, Mohd. Razlan menjelaskan, setiap tindakan yang dilakukan RoS sudah pasti akan ada tindakan balas daripada pengurusan UMNO, termasuk daripada segi soal perundangan sekiranya UMNO tidak dapat menepati tempoh melaksanakan pemilihan pada tahun ini.
Namun, beliau melahirkan kebimbangan jika mengambil contoh sejarah MyPPP yang digantung dan berkemungkinan menjadi rujukan kes yang terjadi terhadap tindakan kepada UMNO.
“MyPPP punyai dua kumpulan yang melakukan mesyuarat dan pertelingkahan dalaman sehinggakan parti itu digantung pendaftarannya. Bertahun berjuang, dengan sekelip mata, ia terkubur begitu sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Razlan mendakwa, ada pihak mahu merampas Barisan Nasional (BN) daripada UMNO kerana mahu mengambil peranan pelantikan watikah calon pilihan raya.
“Mereka mahu menjadi calon Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan negeri, sehingga mereka ingin kuburkan UMNO untuk memberi kuasa kepada MCA atau MIC. Adakah ‘next game’ itu adalah memberi kuasa kepada parti komponen yang lain?
“Apa guna BN sekiranya UMNO ini dikuburkan?, di mana lagi nak di halakan perjuangan agama, bangsa dan negara,” soal Mohd. Razlan. -UTUSAN ONLINE










