'Tiada rombakan besar-besaran menteri Kabinet' -Steven Choong - Utusan Malaysia

‘Tiada rombakan besar-besaran menteri Kabinet’ -Steven Choong

STEVEN Choong Shiau Yoon (tiga dari kanan) melancarkan program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2021 Parlimen Tebrau di Taman Kota Masai, Pasir Gudang di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon menjangka tidak akan berlaku rombakan besar-besaran dalam barisan Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, hal itu kerana perubahan yang keterlaluan dalam tempoh pandemik Covid-19 sedang meningkat dilihat tidak sesuai.

“Saya difahamkan, tidak akan berlaku banyak pertukaran jawatan menteri Kabinet dan banyak menteri akan dikekalkan seperti di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ketika diminta menyatakan sokongan dahulu, saya juga memaklumkan harapan agar kabinet sedia ada terus dikekalkan. Ini kerana pertukaran jawatan menteri kabinet yang besar-besar dilihat tidak sesuai dengan situasi semasa pandemik Covid-19 ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2021 Parlimen Tebrau di Taman Kota Masai, di sini hari ini.

Steven Choong yang juga Ahli Parlimen bebas berkata, pihaknya juga berharap akan ada ‘gencatan politik’ selain fokus utama kerajaan ditumpukan kepada usaha memerangi Covid-19.

“Selaku ahli Parlimen bebas, saya berharap Perdana Menteri baharu akan meneruskan program memerangi pandemik Covid-19 selain beberapa program yang bertujuan meningkatkan semula ekonomi rakyat.

“Saya juga berharap semua parti politik menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar diwujudkan kerjasama antara parti politik tidak kira di blok kerajaan mahupun pembangkang,” katanya.

Pada masa sama, beliau gembira dan menghargai perkembangan kerjasama antara Perdana Menteri dan pimpinan Pakatan Harapan (PH), semalam.

Sehubungan itu, bekas wakil rakyat PKR itu berharap semua pihak menghentikan permainan politik pada ketika ini dan memberi tumpuan kepada usaha memulihkan kembali kehidupan rakyat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

“Seperti yang kita tahu, PRU sudah tidak terlalu lama lagi. Nak berpolitik, tunggulah PRU akan datang, sekarang bergandingan bahu bantu tangani masalah rakyat,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN