ALOR SETAR: Pemuda DAP Kedah melahirkan rasa terkejut ekoran penahanan empat individu bagi membantu siasatan atas dakwaan menghina Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor dalam Facebook, baru-baru ini.
Ketuanya, Tan Kim Ping berkata, tindakan menahan dan menyiasat individu-individu tersebut sewaktu Kedah bergelut dengan Covid-19 yang menjangkau 2,000 kes sehari adalah sesuatu yang tidak wajar dan membazirkan masa serta tenaga anggota pasukan keselamatan.
“Komen dan kritikan yang dilampiaskan terhadap Menteri Besar itu adalah berpunca gurauan jelik beliau sendiri ketika menjawab soalan media berkaitan dengan kontena jenazah pesakit covid-19.
“Mereka yang ditahan hanya menyuarakan kesedihan dan kemarahan terhadap kenyataan Sanusi yang tidak sensitif seolah mempersendakan kesedihan keluarga yang sedang bertarung dengan Covid-19,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, empat individu ditahan polis selepas menerima laporan yang mendakwa mereka menghina dan mengugut Muhammad Sanusi Md Nor di Facebook, baru-baru ini.
Jelasnya, sebagai pemimpin utama kerajaan negeri, Muhammad Sanusi perlu berfikir dahulu akan baik dan buruknya sebelum membuka mulut membicarakan sesuatu isu.
“Insaf dan bertaubatlah, jangan ulangi lagi keceluparan sehingga melukai hati rakyat di bawah.
“Sebagai pemimpin, beliau harus bersikap terbuka dan membenarkan rakyat bersuara dan perlu menerima segala komen dan kritikan dengan berlapang dada.
“Janganlah sewenang-wenangnya bersikap zalim dan memperkuda pihak polis untuk terus menekan rakyat daripada menyuarakan rasa hati mereka,” ujarnya.
Tambah beliau, seharusnya Muhammad Sanusi perlu meletakkan soal kehidupan dan ekonomi rakyat negeri Kedah yang terkesan sebagai agenda utama kerajaan, bukannya memperbesarkan soal peribadinya untuk mengalih perhatian rakyat terhadap kegagalan kerajaan Perikatan Nasional menguruskan pandemik covid-19.
“Pemuda DAP Kedah berpandangan, pihak polis perlu menggunakan budi bicara dalam mengendalikan isu sebegini dan kami menyeru agar tidak ada sebarang tangkapan lagi dibuat berkait isu selepas ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE