PETALING JAYA: Kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diharap dapat memastikan kestabilan politik dicapai dalam suatu tempoh munasabah sebelum Pilihan Raya ke-15 (PRU-15) untuk diserahkan kembali mandat mutlak kepada rakyat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya berharap pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dapat menterjemahkan hasrat parti di dalam membawa aspirasi rakyat bagi menangani pandemik Covid-19 dengan memastikan kesejahteraan, kemaslahatan serta keselamatan mereka sentiasa menjadi keutamaan.
“Ini selaras dengan titah saranan Yang di-Pertuan Agong yang juga mahu suatu permuafakatan dan kerjasama dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat dapat dilakukan dengan mengakhiri segala kemelut politik demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebentar tadi, Yang di-Pertuan Agong memperkenan Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mewakili UMNO menjunjung kasih kepada Seri Paduka atas perkenan melantik Ismail Sabri selaku Perdana Menteri yang kesembilan.
“UMNO merakamkan penghargaan kepada semua ahli-ahli Parlimen yang telah memberikan kepercayaan kepada Ismail Sabri untuk diperkenankan pelantikannya oleh Seri Paduka untuk jawatan Perdana Menteri,” katanya. -UTUSAN ONLINE










