JELI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyangkal dakwaan kolumnis berita Bloomberg kononnya Malaysia menuju menjadi sebuah negara yang gagal.
Tegas beliau, ketika berdepan krisis Covid-19, sistem pentadbiran negara kekal berfungsi dalam semua aspek termasuk kesihatan dan keselamatan, malah,semua institusi sama ada kerajaan atau swasta masih beroperasi seperti biasa.
“Keadaan Malaysia ketika ini, walau dalam keadaan krisis, masih seperti biasa. Ahli politik juga bekerja dan kalau kerajaan gagal, maka sistem politik semuanya lumpuh. Sekarang ini, semua institusi terus berfungsi.
“Pelantikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Penyelaras bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga sebagai bukti menunjukkan kesungguhan kerajaan meningkatkan ekonomi negara.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin juga baru melantik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diyakini dapat membantu Perdana Menteri selain membela rakyat. Insya-Allah, kita akan buat terbaik dan kita tidak akan menjadi negara yang gagal,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan bakul makanan melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) kepada 6,000 penerima di Parlimen Jeli di Masjid Kampung Berdang, di sini hari ini.
Laporan Bloomberg sebelum ini memaklumkan, Malaysia antara negara di kedudukan tangga tercorot dalam senarai kemajuan 53 negara yang membuka semula ekonominya di tengah krisis pandemik Covid-19.
Senarai Kebingkasan Covid-19 bagi Jun tersebut menempatkan Malaysia di tangga ke-51, di atas Filipina dan Argentina.
Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, kerajaan sentiasa terbuka dan menerima pandangan serta kritikan pelbagai pihak bagi memastikan Covid-19 dapat ditangani sebaik mungkin.
“Kita tidak sempurna, namun, kita akan terus berusaha dan bincang supaya krisis ekonomi dan kesihatan dapat diselesaikan. Saya juga berharap semua pihak ketepikan fahaman atau perbezaan politik sebaliknya memberi fokus untuk membantu rakyat,” katanya. -UTUSAN ONLINE