Adakah tindakan Zahid tepat? - Utusan Malaysia

Adakah tindakan Zahid tepat?

MOHD NOOR YAZID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pertembungan UMNO pimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih berterusan dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir dalam masa terdekat. Perkembangan terkini, 8 Julai lalu dengan keputusan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.

Adakah tindakan Ahmad Zahid ini tepat dan kena pada masanya? Adakah tindakan ini memberikan kesan baik kepadanya sebagai Presiden UMNO? Persoalan-persoalan ini menjadi pertanyaan ramai.

Ketika negara sedang dilanda Covid-19 yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir, kes baharu dan angka kematian semakin meningkat. Seolah-olah keputusan Ahmad Zahid adalah bagi kepentingan dirinya dan kurang mengambil kira masalah rakyat dan negara. Apakah matlamat sebenar Ahmad Zahid membuat kenyataan ini? Berjayakah dia mendapat sokongan ahli Parlimen UMNO, khususnya yang berada dalam kerajaan sebagai menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC)?

Daripada perkembangan umum secara gambaran mudahnya, ahli-ahli Parlimen ini tidak akan mematuhi kenyataan yang dibuat Ahmad Zahid. Mereka akan terus menyokong Muhyiddin dengan terus memegang jawatan dan menjalankan tugas seperti biasa. Yang paling jelas adalah kenyataan UMNO Sabah bahawa Datuk Seri Bung Moktar Radin (Timbalan Ketua Menteri) akan terus bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam kerajaan negeri. Kenyataan Bung Moktar ini jelas dan terbuka. Ahli-ahli Parlimen UMNO yang lain pun sebahagian besarnya tidak sehaluan dengan pendirian Ahmad Zahid.

Adakah kenyataan Ahmad Zahid ini bagi kepentingan diri dan penyokongnya sahaja? Sukar sekali bagi menyatakan bukti bahawa sokongan besar diterima oleh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN). Apakah akan berlaku kepada UMNO pimpinannya dan kedudukannya sebagai Presiden UMNO pada masa depan? Adakah Ahmad Zahid akan mampu bertahan mengekalkan kedudukan sebagai presiden dalam pemilihan akan datang? Ini persoalan besar yang sedang diperhatikan. Kalau benarlah ZH mempunyai perancangan bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) adalah suatu yang kurang tepat. Ini bukan sahaja bertentangan dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang baru lalu iaitu no Anwar, no DAP tetapi juga bercanggah dengan prinsip perjuangan asas dan falsafah teras UMNO iaitu perjuangan menegakkan bangsa Melayu, menjunjung tinggi Raja-raja Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu serta melindungi dan menjaga hak-hak istimewa orang Melayu.

Keputusan PAU lalu yang menetapkan no Anwar, no DAP adalah tepat dengan asas falsafah UMNO. PKR perjuangan Anwar bukan sebuah parti Melayu dan perjuangan Melayu secara mutlak tetapi sebuah parti pelbagai kaum dan perjuangan yang bukan berteraskan perjuangan Melayu mutlak dan hak keistimewaan Melayu-Islam sebagaimana parti-parti Melayu UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas. Pemerintahan kerajaan PH selama 22 bulan yang mana PKR dan DAP adalah komponen yang besar keanggotaan telah menunjukkan asas keadilan berasaskan persamaan antara pelbagai kaum. Kalaulah Ahmad Zahid mempunyai rancangan bekerjasama dengan Anwar dan PH, maka ia bercanggah dengan prinsip asas perjuangan UMNO.

Saya berpendapat, dalam UMNO sekarang ramai yang masih kuat semangat Melayu-Islam pegangannya. Dilihat dari sudut ini, tindakan dan perancangan Ahmad Zahid itu kurang tepat dan akan membawa kesan buruk kepada kedudukanya sebagai presiden parti Melayu yang kuat pengaruh Melayu-Islam dan telah melakar sejarah kejayaan besar. Kalau jiwa semangat perjuangan asal UMNO masih kuat, kedudukan masa depan Ahmad Zahid sebagai presiden pada masa depan mungkin akan tergugat. Kedudukannya sebagai presiden dalam pemilihan UMNO akan datang akan sukar. Calon lain yang lebih kuat semangat perjuangan roh Melayu dan lebih bersih daripada kes mahkamah akan dipilih oleh perwakilan sebagai presiden baharu.

Jumlah 38 ahli Parlimen bukanlah satu angka yang cukup besar. Kalaulah kesemuanya memberi sokongan kepada Ahmad Zahid (tetapi ini sukar berlaku) dan memihak kepadanya, maka gabungan baharu parti politik bagi membentuk kerajaan akan berlaku. Kalaulah ini berlaku dengan PH, pakatan ini tidak akan kekal lama dan terus berkuasa memerintah menguasai kerajaan. PH tidak mungkin mendapat sokongan besar kumpulan majoriti penduduk negara, iaitu orang Melayu dan bumiputera. Parti politik yang akan menjadi kerajaan sepatutnya menjunjung kepentingan penduduk majoriti (iaitu orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak). Adakah jika Ahmad Zahid bergabung dengan PH, ia mencerminkan kepentingan dan menjaga kepentingan kumpulan majoriti?

NAJIB

Prinsip sama rata dan mengetepikan amalan hak dan keistimewaan Melayu adalah bukan asas sebagaimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan asas pembentukan negara merdeka Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Persekutuan Malaysia pada 1963. Teguh dan kukuhnya kerajaan Perikatan dan BN sejak 1974 adalah kerana asas yang dibina dalam menjaga kepentingan Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak tanpa mengetepikan kepentingan kaum-kaum lain.

Kejatuhan dan kelemahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 2008 adalah sebahagiannya kerana pengabaian prinsip asas (serta dasar-dasar semasa pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak) serta harapan kepada tawaran baharu PH. Tawaran baharu PH ternyata gagal dipenuhi dan hanya berjaya bertahan selama 22 bulan.

Sejarah dan falsafah politik negara perlu dan penting bagi dihayati oleh semua, khususnya pimpinan utama parti-parti politik seperti UMNO. UMNO mempunyai sejarah gemilang, asas falasafah utuh yang mampu menjadi sebuah parti politik yang kuat dan berpengaruh. Ia perlu diperbaiki dari dalam dan menyesuaikan dengan perkembangan dan struktur baharu politik Malaysia pasca Mei 2018. Paksi utama perjuangan UMNO adalah Melayu-Islam (Perkara 153 jangan diketepikan, hendaklah sentiasa menjadi teras) yang mampu menarik sokongan pengundi utama kumpulan majoriti. Lantikan naib-naib presiden UMNO sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kanan serta menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet pimpinan Muhyiddin adalah bukti yang UMNO adalah dihormati dan diletakkan di tempat yang diiktiraf oleh kerajaan sekarang.

Keputusan bertindak keluar dan tidak memberi sokongan kepada Muhyiddin mempunyai risiko besar. Ahli Parlimen UMNO dan ahli UMNO umumnya perlu rasional dan berfikiran jauh. Kepentingan masa depan parti dan kesejahteraan negara perlu diberi perhatian lebih utama daripada seorang presiden parti. Presiden parti akan berulang, silih berganti. Presiden yang selaras dan memperjuangkan falsafah UMNO dengan jujur, ikhlas dan berani akan terus dikekalkan. Andai di sebaliknya, ahli UMNO semua mesti berani demi kelangsungan dan perjuangan Melayu dan Islam.

Andainya keputusan Ahmad Zahid ini tepat, rasional dan tidak bercanggah dengan perjuangan dan asas teras falsafah UMNO, ahli Parlimen dan semua anggota mesti menyokongnya. Andai sebaliknya, ahli UMNO mesti berani bertindak dan memulihkan UMNO.

Bersatu teguh bercerai roboh. Mencantumkan yang roboh lebih sukar daripada mempertahankan keteguhan yang masih ada. Bersatu bertindak rasional hari ini, menentukan kekuatan di hari esok.

Profesor Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN