PORT DICKSON: Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, meskipun dua ahli parlimen PKR menyatakan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) namun kerajaan PN tetap tiada majoriti.
Dakwa Presiden PKR itu, tindakan Ahli Parlimen Julau, Sarawak, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon itu juga didorong tekanan hingga menyebabkan mereka terpaksa menyokong PN.
Menurut Anwar, tekanan tersebut termasuk melibatkan agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Kalau nak ambil tindakan termasuk kepada pembangkang, silakan, tapi jangan guna ini untuk tarik tali atau menekan mereka supaya melompat parti lain. Paling tidak etika dan paling ‘bankrap’ dari segi politik dan ini yang dilakukan dan kita akan lawan dan dedahkan kerja ini.
“Dengan dua yang lompat, mereka masih minoriti, saya nak tekankan, jangan orang salah faham, dia (PN) masih minoriti, jauh jumlahnya yang kecil daripada kita,” katanya selepas merasmikan Hotel Pasific Regency dekat sini semalam.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengulas tindakan Larry Sng dan Steven Choong yang menyatakan Akuan Bersumpah (SD) menyokong kerajaan PN sekali gus meninggalkan PKR pada 28 Februari lalu.
Sementara itu, berkenaan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Amanah Negara (Amanah) Johor yang dilaporkan menyertai PKR, Anwar memaklumkan, ia tidak menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti itu.
“Memang ADUN memilih untuk sertai PKR, namun pada peringkat awal kita minta mereka berurusan dengan Amanah dahulu, tetapi kita minta perkara ini dibincang dan dileraikan cara baik antara PKR dan Amanah,” katanya. – UTUSAN











