PETALING JAYA: Perkara 150 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia ada menyebut Proklamasi Darurat hendaklah dibentangkan di sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum dilaksanakan.
Perkara 150 (3) juga menyebut Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyurkan di bawah Fasal (2) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam dan penasihat undang-undang, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, permintaan membenarkan sidang Parlimen diadakan bukan satu langkah derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Perkara ini harus dibentangkan kepada Parlimen. Ini bukan soal derhaka atau tidak tetapi Parlimen sepatutnya meneliti perkara itu dan bukan cubaan mencabar Yang di-Pertuan Agong.
“Melihat England iaitu jumlah kematiannya melebihi 90,000 namun persidangan Parlimennya tidak dibatalkan kerana Majlis Parlimen diperlukan terutama dalam keadaan yang semakin meruncing membentuk beberapa undang-undang baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Firoz Hussein pernah mewakili Utusan Melayu dalam kes saman sivil RM50 juta oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada 10 Julai 2012.
Ia berhubung penerbitan artikel dalam akhbar Utusan Malaysia mengenai komen dalam Twitter Mohammad Nizar mengenai bidaan RM520,000 Sultan Johor bagi nombor pendaftaran WWW1.
Tambah peguam itu, bagi memberi ruang kerajaan membentuk undang-undang baharu yang boleh membawa kebaikan ketika pandemik ini, sidang Parlimen perlu dijalankan.
“Jika kita membaca dan memahami Perkara 150 (5), semasa darurat berjalan, Parlimen boleh membuat undang-undang dan sekiranya Parlimen boleh membuat undang-undang itu bermaksud Parlimen boleh bersidang.
Merujuk Perkara 150 (5), semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa, Parlimen boleh, walau apa pun dalam Perlembagaan, membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disenaraikan.
Firoz Hussein menegaskan, meminta mengadakan sidang Parlimen bukanlah satu langkah untuk membelakangkan titah Yang di-Pertuan Agong.
“Oleh itu, surat yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk meminta kebenaran mengadakan sidang Parlimen dalam kadar segera bukan isu derhaka dan tidak membelakangkan Perlembagaan Persekutuan negara kita,” katanya. – UTUSAN








