KUALA LUMPUR: Hasrat Pas untuk berada dalam Kabinet kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu dilihat dalam konteks lebih luas.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, pelantikan ke Kabinet ataupun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik sebenarnya tidak menjejaskan langsung kelebihan kerusi mana-mana parti lain atau keharmonian etnik di Sabah.
“Malah ia akan memperkukuhkan, dapat memberikan satu impak baru dalam pentadbiran dan perkembangan politik di Sabah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, ADUN Kapayan (DAP), Jannie Lasimbang mendakwa, Pas adalah parti yang tidak terbuka terhadap kepercayaan lain dan hal itu akan menganggu keharmonian agama dan kaum.
Senada dengan Jannie adalah Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.
Dalam pada itu, pensyarah kanan di Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, ia tidak ubah seperti ‘kawan makan kawan’.
Ini kerana, Pas secara bersungguh-sungguh pernah membantu PBS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan pada Mei 2019 demi memperkukuhkan blok pembangkang ketika itu.
“Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang sepatutnya lebih utama mengulas, pun belum kata apa-apa.
“Alih-alih Presiden PBS, Maximus pula yang terkehadapan dengan menyebut, tiada asas bagi GRS untuk mempertimbangkan pelantikan ADUN dari Pas kerana Pas itu tidak bertanding dan tidak memenangi apa-apa kerusi DUN dalam pilihan raya negeri yang lalu,” ujarnya. – UTUSAN










