ELEBU: Langkah mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam tempoh terdekat ketika negara sedang dilanda peningkatan kes Covid-19 adalah tidak wajar, sebaliknya setiap parti politik perlu bersatu bagi membantu rakyat yang terkesan.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berpandangan, pemimpin politik juga perlu mengambil kira sentimen rakyat yang kini sedang marah dengan konflik politik yang tidak berkesudahan sejak selepas pilihan raya umum yang lalu.
“Kita baru sangat berpilihan raya. Sebenarnya selepas dua tahun, kita uji mekanismenya dulu, apabila itu menyerlahkan dan membantu rakyat barulah kita setuju, tapi pilihan raya kalau belum habis dua tahun, saya fikir itu tidak praktikal.
“Rakyat ada lunas marah, ini kita kena berjaga-jaga. Lepas ini jangan lagi hendaknya ada apa-apa perubahan yang libatkan pilihan raya atau menukar pemimpin dalam keadaan Covid-19, ini pegangan kita yang saya fikir wajar kita pertimbangkan dan terima,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Jelebu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Permuafakatan di Dewan Masyarakat Cina, Pertang dekat sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, Rais turut menerima borang keahlian Bersatu daripada ahli-ahli Penggerak Komuniti Negara Kawasan Jelebu yang diketuai oleh Pengerusinya, Tang Jay Soon yang juga merupakan bekas Timbalan Ketua Cabang PKR Jelebu.
Rais berkata lagi, soal siapa yang akan menjadi perdana menteri juga tidak sesuai dibincangkan kerana fokus harus diberikan terhadap ancaman Covid-19.
“Kita ketepikan dulu, kita jangan berlumba-lumba mendapatkan tempat sebagai perdana menteri atau menyatakan sudah mempunyai majoriti besar.
“Tetapi (apabila) Covid-19 sudah selesai, saya kira siapapun boleh cuba untuk jadi perdana menteri,” katanya. – UTUSAN









