IPOH: Hanya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh menentukan sama ada benar atau sebaliknya dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki sokongan cukup dari anggota Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.
Pakar Perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, ini dapat dilakukan dengan menerima menghadap Presiden PKR itu bagi mempersembahkan dakwaannya kepada Yang di-Pertuan Agong.
Menurut beliau, perkara itu menjadi kemestian supaya kenyataan Anwar itu dapat diteliti kebenarannya oleh Yang di-Pertuan Agong setelah pemimpin parti dalam Perikatan Nasional (PN) menyifatkan kenyataan Anwar sekadar dakwaan.
“Dari segi undang-undang, dalam situasi sekarang semuanya atas Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan siapa betul, Anwar atau Muhyiddin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak percaya dakwaan Anwar hari ini ada kebenarannya kerana jika tidak, Presiden PKR itu tidak mungkin akan mengumumkannya.
“Kalau tak ada jumlah Ahli Parlimen yang mencukupi, tak kan Anwar nak buat kenyataan.
“Orang politik ni memperjudikan krebilitinya, jika berbukti tidak betul, tak ada jumlah yang dikatakan, dia akan dikutuk dan ditolak selamanya,” katanya.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang selepas memperolehi majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan.
Jelasnya dalam sidang media sebentar tadi, kerajaan baharu itu adalah gabungan ahli Parlimen daripada pelbagai parti, namun tidak menyebut berapakah jumlah majoriti yang diperolehi.
“Rakyat Malaysia berhak dapat kerajaan yang kukuh dengan kepimpinan cekap dan yakin. Untuk urus ekonomi dengan kebijaksanaan dan tuntas. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua selamatkan negara dari kemelesetan ekonomi.
“Saya telah mendapat sokongan kukuh dan meyakinkan daripada ahli parlimen untuk saya persembahan kepada Yang di-Pertuan Agong. Dan ingin saya menyatakan di sini majoriti dan sokongan itu dalam kalangan Melayu dan Islam,” katanya,
Anwar sepatutnya menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada semalam jam 11 pagi. – UTUSAN










