KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah mencapai kesepakatan untuk menamatkan pertembungan sesama sendiri di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan calon-calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beliau telah berunding dengan pemimpin PBS, BN, PBRS dan STAR untuk meleraikan kekusutan itu dan akan mengumumkan selewat-lewatnya Selasa ini calon tunggal yang dipersetujui membawa cabaran GRS.
“Saya baca dalam media, anda semua tanya Datuk Seri Bung Moktar (Radin), dia cakap “friendly match bah”. Dengan ayat friendly match itu PBS gunakan itulah ini friendly match. Jadi, ia jadi masalah pertindihan.
“Saya minta kepada rakyat yakinlah bahawa Bersatu dan UMNO memang telah bersetuju, sebab itu tidak ada pertembungan. Di antara rakan-rakan kita ini, saya cuba sekarang ini untuk perbaiki. Saya bertemu dan bincang dengan Presiden PBS, akhirnya mereka bersetuju untuk menjadi rakan kepada PN.
“Bukan lagi friendly tetapi partner. Partner maknanya equallah. Jadi bila equal (sama rata), saya kata okey perjanjian kita asalnya kau hanya bertanding 15. Sekarang kau bertanding banyak. Can you withdraw (tarik diri)? Dan adalah beberapa kaedah untuk dia withdraw.
“Dan saya jumpa STAR sebagai ahli dalam PN, dan Datuk Jeffrey gentleman dia kata, okey dia pun bersetuju untuk duduk bincang supaya tidak ada pertembungan semula di antara PBS dan STAR. Insya-Allah, perkara ini akan dapat diselesaikan sebelum 26 haribulan. Kalau boleh secepat mungkin, Selasa sudah selesai kita umumkan dan semua akan bersama,” katanya ditemui di sini semalam.
Baru-baru ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh mengingatkan, calon yang tiba-tiba menarik diri daripada persaingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 akan hilang wang deposit RM5,000 bertanding.
Katanya, sekiranya ada kalangan calon yang diam-diam’ berbuat demikian pun, nama mereka tetap tercetak di kertas undi pada hari pengundian 26 September ini.
Tujuh belas kerusi yang menyaksikan pertembungan sesama calon BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) adalah N02 Bengkoka (UMNO lawan PBS); N05 Matunggong (PBRS lawan PBS); N07 Tandek (PBRS lawan PBS); N11 Kadamaian (PBRS lawan PBS); N22 Tanjung Aru (UMNO lawan PBS); N25 Kapayan (MCA lawan PBS), N26 Moyog (STAR lawan PBS) dan N34 Lumadan (UMNO lawan PBS).
Sembilan kerusi lagi ialah N38 Paginatan (UMNO lawan STAR lawan PBS); N39 Tambunan (STAR lawan PBS); N40 Bingkor (STAR lawan PBS); N41 Liawan (STAR lawan PBS); N42 Melalap (UMNO lawan PBS); N44 Tulid (STAR lawn PBRS lawan PBS); N45 Sook (STAR lawan PBRS); N47 Telupid (UMNO lawan PBS) dan N54 Karamunting (MCA lawan PBS). – UTUSAN










