Pengundi digalak keluar ikut masa ditetapkan - SPR - Utusan Malaysia

Pengundi digalak keluar ikut masa ditetapkan – SPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Pengundi digalakkan mengikut masa keluar mengundi seperti yang disarankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengelak kesesakan di pusat mengundi pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim Sabtu ini.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, masa mengundi yang cadangkan itu telah diletakkan pada Voter’s Card (Kad Pengundi) kepada para pengundi.

Menurutnya, cadangan masa mengundi itu bertujuan mengelak pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi. 

Beliau berkata, ia selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak Covid-19 di bawah Akta 342 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit yang sedang berkuat kuasa. 

“Pada Kad Pengundi kali ini, SPR meletakkan maklumat mengenai ‘masa keluar mengundi yang digalakkan’ bagi setiap pengundi.

“Bagi pengundi yang telah menerima Kad Pengundi atau yang telah mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu lagi membuat semakan di kaunter semakan SPR. 

“SPR berharap pengundi keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan dan tidak memilih saat akhir walaupun waktu mengundi ditetapkan dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Ikmalrudin, bagi pengundi yang tidak menerima Kad Pengundi kerana kemungkinan telah berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian, mereka disaran membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi.

Beliau berkata, semakan boleh dibuat melalui portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my; aplikasi MySPR Semak; Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau SMS ke 15888 (taip SPR<jarak>SEMAK<jarak>No. Kad Pengenalan).

Menurutnya, semasa membuat semakan, pengundi disaran mencatat dan menyimpan maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

Beliau berkata, pengundi diingatkan membawa kad pengenalan dan Kad Pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran. 

“Kad Pengundi dan catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi,” katanya.

Ikmalrudin berkata, seramai 22,749 orang daripada 23,094 orang pengundi biasa layak mengundi pada PRK Slim pada Sabtu ini.

Menurutnya, seramai 267 orang adalah pengundi awal dan 78 orang mengundi secara pos.

“Semua pengundi dan pihak yang terlibat dalam PRK DUN Slim diingatkan agar sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan pencegahan Covid-19 pada hari mengundi nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya