TEMERLOH: Seramai 13 lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Temerloh di sini, hari ini atas pertuduhan berlagak seperti wanita dan berpakaian tidak sopan di tempat awam, Januari tahun lalu.
Pengakuan itu direkodkan di hadapan Hakim Syarie, Norhisham Ahmad, selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 33 dan Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pahang.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Busu Firdaus Abu Bakar manakala kesemua 13 tertuduh diwakili peguam Muhammad Syarafi Mohd. Salleh yang dibantu Muhammad Nur Helmi Abdul Hamid.
Mahkamah menetapkan 22 September ini sebagai tarikh perbicaraan selepas kesemua orang kena tuduh (OKT) memilih menafikan pertuduhan dan mempertahan diri melalui proses perbicaraan.
Mahkamah turut membenarkan kesemua 13 tertuduh diikat jamin antara RM500 hingga RM700 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Muhammad Syarafi berkata, kes itu berpunca daripada operasi penguat kuasa agama yang dijalankan di sebuah premis di kawasan Garden Hill, Taman Perindustrian Mentakab, pada malam 12 Januari hingga awal pagi 13 Januari 2025.
Menurutnya, selepas siasatan dilengkapkan dan kertas siasatan diserahkan kepada pihak pendakwaan, kebenaran mendakwa diperoleh sebelum kesemua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Temerloh hari ini.
Jika disabitkan kesalahan, semua tertuduh boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 33 dan Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pahang, termasuk denda, penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, tertakluk kepada keputusan mahkamah. – UTUSAN










