Lelaki mengaku salah tetak penunggang motosikal

Lelaki mengaku salah tetak penunggang motosikal di Lebuhraya Persekutuan

Tetak penunggang motosikal
AZMI Jantan dibawa ke Mahkamah Sesyen bagi menghadapi pertuduhan menetak seorang penunggang motosikal, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penunggang motosikal yang menetak penunggang lain dekat Seksyen 13, Lebuhraya Persekutuan pada minggu lalu mengaku salah selepas dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Azmi Jantan, 43, membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Mohd. Fairus Jaafar, 45, dengan menetak menggunakan pisau potong daging iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian.

Perbuatan itu dilakukan di Kilometer 14.6 dekat laluan motosikal lebuh raya berkenaan, di Seksyen 13 di sini, kira-kira pukul 8.19 pagi, pada 11 Jun lalu.

Justeru, tertuduh yang sudah berkahwin namun tidak mempunyai anak itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang  memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ho Zee Xing kemudian memohon mahkamah memberi tarikh sebutan bagi fakta dan hukuman selain menawarkan jaminan RM30,000 beserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis.

Azmi yang bekerja sebagai jurujual dan tidak diwakili peguam itu bagaimanapun merayu jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000.

Hakim, Datin Fatimah Zahari kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.

Namun, mahkamah menetapkan 8 Julai depan bagi fakta kes dan hukuman.

Minggu lalu Utusan Malaysia melaporkan perjalanan seorang penunggang motosikal ke tempat kerja bertukar detik ngeri apabila ditetak di pada bahagian belakang kepala, lengan dan tangan oleh seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa ditetak dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek berusia 43 tahun yang dihon kerana menghalang laluannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN