KULIM: Seorang pemandu jengkaut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan termasuk cubaan membunuh dan kesalahan berkaitan senjata api, Jumaat lalu.
Tertuduh, Mohamad Rashidi Senapi, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Jamaliah Abd. Manap.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan niat menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 32 tahun dengan cara menembak lengan dan dada mangsa menggunakan sepucuk pistol jenis revolver yang boleh menyebabkan kematian.
Perbuatan itu dilakukan pada pukul 11.50 malam, 20 Mac lalu di jalan raya berhadapan sebuah rumah di Kampung Permatang Durian, Seberang Paya di Padang Serai.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa pada tarikh, masa dan lokasi sama memiliki senjata api iaitu sepucuk pistol jenis revolver .38 Spl S&W secara menyalahi undang-undang.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Manakala dalam pertuduhan ketiga, dia turut didakwa memiliki 10 butir peluru hidup dan dua kelongsong peluru tanpa lesen atau permit yang sah.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nursalwati Wan Kamarul Ariffin memohon tertuduh tidak dibenar diikat jamin, namun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Rivaty memohon jaminan diberikan kerana anak guamnya memiliki tiga anak berusia 14, 16 dan 17 tahun.
Katanya, tertuduh juga tidak akan mengganggu mangsa serta akan mematuhi segala syarat yang ditetapkan mahkamah.
Mahkamah hanya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi kesalahan memiliki peluru dan kelongsong dan menetapkan 12 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen. – UTUSAN







