Tiga orang kanan ‘Kapten Praba’ didakwa terlibat dalam kegiatan jenayah terancang - Utusan Malaysia

Tiga orang kanan ‘Kapten Praba’ didakwa terlibat dalam kegiatan jenayah terancang

M. KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga penjenayah dikehendaki yang juga suspek utama dalam operasi khas Op Jack Sparrow yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Sepang untuk pendakwaan sebentar tadi.

Pertuduhan terhadap ketiga-tiganya dibuat kira-kira pukul 2.30 petang tadi kerana terlibat dalam kegiatan jenayah terancang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, mereka ditahan berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen, Sepang pada 14 Januari lalu.

“Kesemua mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki menjadi ahli kepada suatu kumpulan jenayah terancang dan disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.

“Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman pemenjaraan tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata, penahanan kesemua suspek dilaksanakan dengan kerjasama dan bantuan pihak berkuasa tempatan di Mumbai, India sebelum mereka dibawa pulang ke Malaysia.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa India atas kerjasama erat yang diberikan serta menegaskan komitmen berterusan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang demi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan,” katanya.

Terdahulu, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 30-an itu yang dikenal pasti sebagai orang kanan kepada dalang utama kumpulan jenayah dikenali sebagai ‘Kapten Praba’ tiba pada pukul 1 pagi tadi menaiki penerbangan komersial Batik Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj (CSMIA), Mumbai.

Ketibaan mereka dikawal ketat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang bagi proses dokumentasi pada pukul 8.33 pagi.

Mereka ditahan oleh pasukan keselamatan India di CSMIA pada Ahad lalu selepas bertindak ganas sebaik tiba di Mumbai.

Mereka sebelum itu diusir dari United Kingdom (UK) apabila pihak imigresen di Lapangan Terbang Manchester menolak kemasukan selepas dimaklumkan mengenai status sebagai penjenayah berprofil tinggi.

Mengikut protokol antarabangsa, individu yang ditolak masuk perlu dihantar semula ke lokasi berlepas terakhir, menyebabkan mereka terkandas di Mumbai.

Menyedari keadaan tersebut, suspek dipercayai bertindak ganas bagi mengelak ditahan.

Siasatan mendapati, tindakan agresif itu didorong tekanan hebat apabila mereka menyedari bakal berdepan tindakan undang-undang di Malaysia.

Ketiga-tiga mereka dikenal pasti sebagai sasaran utama Ops Jack Sparrow yang dilancarkan sebelum ini bagi membanteras kumpulan jenayah terancang.

Pada September 2025, seramai 17 ahli kumpulan itu ditahan menerusi operasi bersepadu JSJ Bukit Aman melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail memaklumkan, kumpulan tersebut dipercayai aktif sejak 2023 dengan keanggotaan seramai 33 orang, diketuai individu dikenali sebagai ‘Kapten Praba’.

Semua suspek berusia antara 19 hingga 44 tahun dipercayai terbabit dalam pelbagai jenayah kekerasan termasuk pembunuhan, serangan bersenjata, samun berkumpulan serta khianat dengan api.

Kes itu dikaitkan dengan beberapa kejadian jenayah serius termasuk serangan bersenjata di Taman Sentosa, Klang awal tahun lalu serta kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah restoran di Brickfields pertengahan tahun lalu, selain beberapa kes jenayah terancang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN