Ejen syarikat e-waste didakwa sogok pegawai JAS RM50,000

Ejen syarikat e-waste didakwa sogok pegawai JAS RM50,000

SOON Kein Chong diiring pegawai SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Seremban, Negeri Sembilan atas pertuduhan memberi suapan RM50,000. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang ejen sebuah syarikat memproses sisa elektrik dan elektronik (e-waste) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan rasuah melibatkan wang tunai RM50,000.

Tertuduh, Soon Kein Chong, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim N. Kanageswari selepas pertuduhan mengikut Seksyen 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Kein Chong didakwa telah secara rasuah memberi suapan berupa wang tunai RM50,000 kepada seorang Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang kepada tertuduh yang disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Kesalahan itu adalah tidak mempunyai lesen premis ditetapkan, tiada kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah JAS, tiada kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan larangan menempatkan buangan terjadual di premis yang tidak ditetapkan.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 1 tengah hari pada 12 Februari 2025 di Jalan Zamrud, Kawasan Perindustrian Nilai.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin dan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Aliff Shaharuzaman manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Strok.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM20,000 dan tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM berdekatan serta serahan dokumen pada 6 Mac ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN