Ibu Zayn Rayyan, Ismanira kekal jalani hukuman penjara

Ibu Zayn Rayyan, Ismanira kekal jalani hukuman penjara

Ismanira
ISMANIRA Abdul Manaf meninggalkan kamar Mahkamah Tinggi selepas mendengar keputusan menolak permohonannya bagi menangguhkan hukuaman penjaranya, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin gagal dalam rayuan bagi mendapatkan penangguhan hukuman penjara lima tahub yang dihadapinya, di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Mahkamah menolak permohonan tersebut selepas mendapati tiada keperluan khas dan unsur-unsur yang membolehkan mahkamah membenarkan permohonan Ismanira Abdul Manaf.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin dalam penghakimannya berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mahkamah meneliti hujahan bertulis dan mendengar hujahan lisan kedua-dua pihak pemohon dan responden.

“Mahkamah menolak permohonan dan mendapati tiada keperluan khas serta unsur-unsur yang membolehkan mahkamah membenarkan penangguhan tersebut,” katanya.

Pada prosiding tersebut, Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh, sementara pendakwaan sebagai responden terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Izham Ali dan Ahmad Iqbal Azman.

Pada 31 Oktober lalu, Hakim Dr. Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman penjara lima tahun di Penjara Kajang terhadap Ismanira.

Selain itu, mahkamah juga mengeluarkan perintah bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM3,000 yang perlu dijamin oleh seorang penjamin warganegara Malaysia, serta perintah khidmat masyarakat sebanyak 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat tempoh pemenjaraan.

Ismanira didapati bersalah mengabaikan Zayn Rayyan selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh yang berusia 30 tahun itu di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa mengabaikan kanak-kanak tersebut dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartmen Idaman antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN