SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan gali semula kubur pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Allahyarham Muhammad Amir Rusyadi Muhamad Zaidi.
Bagaimanapun, Hakim Roszianayati Ahmad membenarkan kertas siasatan terhadap punca kematian dibuka semula dengan melantik pegawai penyiasat baharu dari Ibu pejabat Polis Bukit Aman.
Selain itu, mahkamah juga membenarkan inkues bagi menyiasat punca kematian dengan mengeluarkan satu perintah yang mengarahkan Peguam Negara atau Pendakwa Raya menjalankan kuasanya di bawah Seksyen 339 Kanun Tatacara Jenayah.
“Pegawai penyiasat baharu dari Ibu pejabat Polis Bukit Aman mengambil alih daripada pegawai penyiasat yang sedia ada dan menyelesaikan siasatan tersebut dalam tempoh tiga bulan dari tarikh perintah ini.
“Ia termasuklah, tetapi tidak terhad untuk merakam percakapan kesemua keterangan saksi-saksi yang telah mengikrarkan afidavit-afidavit dalam kes ini. Laporan siasatan itu hendaklah dengan seberapa segera diserahkan kepada Pendakwa Raya,” katanya dalam alasan ringkas penghakimannya.
Beliau menjelaskan, aduan utama yang dikemukakan oleh pemohon adalah berkenaan dengan punca kematian dan tiada percanggahan berkenaan sebab kematian sehingga jasadnya perlu digali semula.
“Saya mendapati punca kematian dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan dan rawatan yang dijalankan oleh doktor-doktor di Hospital Shah Alam (HSA). Doktor-doktor mengikrarkan afidavit dan mengesahkan sebab kematian adalah heat stroke with multiple organ failure,” jelasnya.
Terdahulu, pada prosiding tersebut Roszianayati dalam penghakimannya menolak notis usul yang dikemukakan berkaitan perintah agar Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan pihak-pihak berkaitan mengarahkan untuk menggali semula kubur jasad Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi.
Keputusan tersebut turut terpakai kepada usul menjalankan bedah siasat ke atas jasad mahasiswa UiTM itu dan arahan supaya laporan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari selepas bedah siasat dibuat.
Pada 29 Ogos, bapa Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi, Muhamad Zaidi Abdul Rahman memulakan prosiding dengan memfailkan notis usul bagi menyiasat semula punca kematian anak sulungnya itu.
Dalam pemfailan tersebut, selain notis usul, pemohon mengemukakan satu afidavit permohonan dan dua afidavit sokongan serta sijil perakuan segera bagi menyegerakan siasatan. Pada 2 September lalu, pemohon turut mengemukakan afidavit tambahan.
Utusan Malaysia pada 21 Ogos lalu melaporkan keluarga arwah yang meninggal dunia pada 13 November 2024 membuat permohonan demikian selepas mempercayai terdapat kecuaian tidak dijawab.
Malah, terdapat kenyataan yang bercanggah dikeluarkan oleh Ketua Polis Selangor pada Januari lalu yang mengatakan bedah siasat terhadap allahyarham sudah dilakukan serta mengklasifikasikan insiden sebagai kematian mengejut (SDR), sedangkan proses tersebut didakwa tidak pernah dilakukan.
Pada 28 November tahun lalu, kematian Muhammad Amir Rusyaidi dilaporkan berpunca daripada strok haba dan kegagalan fungsi pelbagai organ.
Mahasiswa tahun pertama jurusan Kejuruteraan Mekatronik UiTM Shah Alam itu dimasukkan ke hospital pada 10 November selepas rebah ketika menjalani latihan fizikal tidak berjadual serta penderaan secara fizikal termasuk dipijak di bahagian dada serta dipaksa melakukan aksi melompat seperti haiwan oleh jurulatihnya.
Jenazah allahyarham dikebumikan dekat Tanah Perkuburan Taman Firdaus, Kampung Sungai Lang, di Banting, Kuala Langat. – UTUSAN










