KOTA BHARU: Seorang lelaki etnik Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol kekasihnya berusia 14 tahun di sebuah rumah di Ketereh, dekat sini, Mei lalu.
Tertuduh, Anamul Hassan Rahamatullah, 30-an, membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Hakim Zulkifli Abllah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berumur 14 tahun empat bulan ketika kejadian di sebuah rumah di Kampung Lachang, Ketereh pada Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nur Syafiqah tidak mencadangkan wang jaminan kerana pertuduhan yang dihadapi tertuduh merupakan kes serius.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes dan lantikan jurubahasa. – UTUSAN










