GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan (KKM) menyaman dua syarikat di di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyediakan perkhidmatan klinik perubatan swasta tanpa di Mahkamah Sesyen.
RR Beaute Solution Sdn. Bhd dan Akademi Latihan CTA Sdn. Bhd. masing-masing diwakili oleh dua pekerja iaitu pembantu tadbir dan pembantu peribadi syarikat tersebut.
Pemilik syarikat itu yang didakwa dimiliki oleh seorang pempengaruh media sosial dan suaminya bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah dalam prosiding hari ini.
Kedua-dua wakil syarikat yang hadir tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Irwan Suainbon.
Kedua-dua syarikat didakwa menyediakan suatu klinik perubatan swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh syarikat terbabit pada 22 Oktober 2024, kira-kira pukul 10.15 pagi, di premis di Jalan Rangoon di sini.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta yang sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM500,000.
Prosiding kes dikendalikan oleh pegawai pendakwa KKM, Dr. Mohd Fikri Mohammad Fishoul dan Shamsul Nizam Kassim manakala tertuduh diwakili peguam, V.Parthipan.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Disember depan untuk tujuan serahan dokumen serta pengurusan kes.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai pasangan pempengaruh terkenal yang didakwa terbabit dalam kegiatan perubatan estetik tidak berdaftar serta program bimbingan kewangan berisiko tinggi, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna dan integriti kewangan awam. – UTUSAN










