SHAH ALAM: Ibu kanak-kanak Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf memfailkan permohonan penangguhan hukuman sehingga rayuan terhadap sabitannya diputuskan, di sini, hari ini.
Mahkamah Tinggi kemudian menetapkan tarikh pendengaran permohonan pada 4 Disember ini pada prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar Kanan, Nadiah Misman.
Peguam mewakili Ismanira, 30, Harues Mahadevan berkata, pihaknya memfailkan permohonan penggantungan hukuman menerusi notis usul pada 4 November lalu.
Permohonan itu dibuat sementara menunggu rayuannya terhadap sabitan dan hukuman yang diputuskan nanti.
“Pihak pendakwaan perlu menjawab permohonan tersebut pada Isnin ini manakala pihak-pihak perlu memfailkan hujahan sebelum atau pada 28 November. Mahkamah kemudian menetapkan tarikh pendengaran terhadap permohonan itu pada 4 Disember,” katanya.
Terdahulu menerusi notis usul berkenaan, ibu kepada dua anak itu memberi enam alasan membolehkannya dilepaskan sementara rayuan didengar.
Ia antara terdapat keadaan khas yang mewajarkan penggantungan pelaksanaan diberikan malah rayuannya mempunyai merit kerana melibatkan isu undang-undang yang serius serta berkemungkinan besar berjaya.
Sehingga hari ini, Ismanira sudah berada di Penjara Kajang selama 20 hari sejak menjalani hukuman penjara pada 31 Oktober lalu.
Pada 31 Oktober lalu, Ismanira yang didakwa atas pertuduhan mengabaikan anaknya dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes melangkaui keraguan munasabah terhadap Ismanira diakhir kes pembelaannya. – UTUSAN











