eHati: Kaunselor didenda, bersalah biar aurat dilihat orang lain 

eHati: Kaunselor didenda, bersalah biar aurat dilihat orang lain 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang kaunselor mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini atas kesalahan mendedahkan anggota badannya yang dilarang hukum syarak dalam sebuah program motivasi pada 29 September tahun lalu.

Tertuduh, Siti Zaama Rizal Bos yang merupakan seorang kaunselor membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, wanita berusia 49 tahun itu didakwa menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan mendedahkan anggota badannya yang dilarang hukum syarak sehingga boleh dilihat orang lain di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) antara pukul 8 malam hingga 12 tengah malam.

Dia justeri didakwa mengikut Seksyen 10 (a) Enakmen jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Siti Zaama yang tidak wakili peguam kemudiannya memohon denda dikurangkan kepada RM500 sahaja disebabkan tidak bekerja. 

“Suami saya juga tidak bekerja. Apa yang saya buat adalah pilihan sendiri bagi membuang rasa malu seterusnya meningkatkan keyakinan diri. 

“Saya mempunyai masalah rumah tangga selain menanggung trauma yang banyak secara sendirian. Mohon tidak dikenakan penjara. Saya meminta maaf apa yang berlaku dan menjadikannya sebagai pengajaran,” katanya.

Bagaimanapun, Hakim Syarie Dr. Zainal Abidin Kusmin menegur tertuduh dengan mengatakan sebagai seorang penganut agama Islam, sepatutnya menjadi duta kepada agama itu dengan menunjukkan sikap yang baik sebagai teladan kepada orang bukan Islam.

“Islam itu sebagai ‘pakaian’ dan cara hidup kamu. Bukan secara zahir tetapi pelindung kamu.  Walaupun anda sakit (masalah rumah tangga dan emosi). Namun, perhitungkan halal dan haram. Jangan dilanggar sahaja. Kamu aibkan diri sendiri,” tegasnya.

Mahkamah kemudian mengenakan denda RM4,000 terhadap Siti Zaama dan sebulan penjara jika gagal membayarnya.

Dalam pada itu, dua lagi kaunselor iaitu Munira Hishamshah, 37 dan Bushra Mohd. Zaki, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang   sama dengan perbuatan dilakukan  antara pukul 2.30 hingga 6.30 petang, 30 September tahun lalu di lokasi sama. 

Munira diwakili Peguam Syarie Mazli Abdul Muin manakala Peguam Syarie Yusfa Hanis Yusoff mewakili Bushra. 

Kedua-dua tertuduh masing-masing dibenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula 5 Mac tahun depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN