KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda keseluruhan RM65,000 ke atas seorang majikan dan dua wakil syarikat selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil serta membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) tinggal di premis bawah kawalan masing-masing, antara September dan Oktober lalu.
Hakim Nazlyza Mohamad Nazri menjatuhkan hukuman denda RM30,000 terhadap Wong Woon Yit, 59, manakala wakil CAG Majubina Sdn. Bhd. didenda RM20,000 dan wakil Jasa Mega Holding Sdn. Bhd. pula RM15,000 selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Mengikut fakta kes, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Terengganu menjalankan operasi di Tapak Perlombongan Tertak Batu (B), Bukit Cangkul Abas, Marang dekat sini, kira-kira pukul 11.30 pagi pada 21 Oktober lalu.
Hasil pemeriksaan mendapati Wong membenarkan enam warga asing berusia antara 22 tahun hingga 43 tahun tanpa dokumen sah tinggal di premis berkenaan.
Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan denda RM30,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Bagi kes kedua, pada 17 September lalu kira-kira pukul 2.40 petang, pemeriksaan dilakukan di Tapak Pembinaan Cadangan Pembangunan 130 Unit Rumah Teres di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, melibatkan wakil syarikat CAG Majubina Sdn. Bhd.
Syarikat itu didapati membenarkan empat warga asing berusia antara 23 tahun hingga 42 tahun tanpa pas sah tinggal di premis terbabit dan dikenakan denda RM20,000.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, operasi dijalankan pada 22 Oktober lalu kira-kira pukul 1 petang di rumah pekerja dan sekitar Kilang Papan Jasa Mega Holding Sdn. Bhd., Bandar Baru Cheneh, Kemaman.
Hasil pemeriksaan mendapati syarikat berkenaan membenarkan tiga warga asing berusia 25 tahun hingga 37 tahun tanpa dokumen sah tinggal di premis tersebut dan dikenakan denda RM15,000.
Ketiga-tiga kes disiasat di bawah Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap imigran haram yang ditemukan.
Pendakwaan dilakukan oleh Unit Pendakwaan Jabatan Imigresen Negeri Terengganu manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN










