Tukang urut didakwa jalankan urus niaga pinjaman tanpa lesen

Tukang urut didakwa jalankan urus niaga pinjaman tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang tukang urut didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan urus niaga pinjaman wang tanpa lesen antara Jun hingga September lalu.

Namun tertuduh, Lau Soon Aik, 37, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, Soon Aik didakwa menjalankan urus niaga pinjaman wang kepada seorang ahli perniagaan sebanyak RM500,000 dengan kadar faedah 8.5 peratus tanpa lesen sah di sebuah pusat perniagaan di Jalan Gombak, antara 5 Jun hingga 25 September 2025.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM250,000 hingga RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saravanan Meyappan manakala tertuduh diwakili peguam, Dennis Chong Chin Wei.

Semasa prosiding, Saravanan mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Bagaimanapun, Chin Wei merayu agar jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya sudah berkahwin serta menanggung isteri dan tiga orang anak. 

Katanya, anak guamnya kini hanya bekerja sebagai tukang urut sambilan dengan pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia serta menetapkan 28 November ini untuk sebutan semula bagi serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN