Rayuan akhir kes Syed Saddiq didengar Disember ini

Rayuan akhir kes Syed Saddiq didengar Disember ini

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rayuan akhir kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) membabitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ditetapkan untuk pendengaran pada Disember ini.

Pada prosiding pengurusan kes hari ini, Mahkamah Persekutuan menetapkan 11 dan 12 Disember ini pendengaran rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan melepaskan  dan membebaskan bekas Presiden Muda itu.

Pada 25 Jun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan salah dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dikenakan terhadapnya sebelum ini selepas didapati bersalah atas kesemua pertuduhan.

Pada 22 September lalu, pihak pendakwaan melalui Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memfailkan petisyen rayuan itu dengan menyenaraikan 28 alasan kenapa sabitan salah dan hukuman terhadap Syed Saddiq perlu dikekalkan.

Perkara itu dimaklumkan Wan Shaharuddin ketika dihubungi media selepas tamat prosiding yang dijalankan melalui aplikasi Zoom di hadapan Timbalan-Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Wan Fatimah Zaharah Wan Yussof dan Mahyun Yusof.

Tambahnya, pihak-pihak juga diarahkan untuk memfailkan hujahan bagi rayuan itu pada atau sebelum 26 November ini.

Turut hadir pada prosiding itu ialah peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq selaku responden.

Katanya, mahkamah kemudian menetapkan pada 27 November ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Daripada 28 alasan melalui petisyen rayuan itu, 15 alasan berhubung pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan, sembilan alasan bagi tuduhan menyalahgunakan harta mengikut Seksyen 403 kanun sama dan empat bagi dua tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram 2001.

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta kepada Syed Saddiq.

Ia selepas mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan iaitu bersubahat melakukan pecah amanah membabitkan dana RM1 juta, menyalahgunakan wang RM120,000 serta dua kes pengubahan wang haram berjumlah RM100,000.

Dana berkenaan adalah milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ketika itu.

Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Pada 25 Jun lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan dan membebaskan beliau daripada semua pertuduhan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN