PUTRAJAYA: Pihak pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, berlaku salah laksana keadilan (miscarriage of justice) apabila hakim bicara di akhir kes pendakwaan telah memutuskan bahawa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri tu tidak bertindih atau berulang.
Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin ketika berhujah menyatakan, keputusan itu juga dibuat pramatang dan tergesa-gesa, sebelum mahkamah mendengar pembelaan Najib.
“Yang Arif (Datuk Collin Lawrence Sequerah) telah menggunakan Seksyen 422 Kanun Tatacara Jenayah, satu peruntukan yang membetulkan kecacatan dalam pertuduhan dan atas dasar tersebut, mengisytiharkan bahawa tiada prejudis telah timbul.
“Adalah menjadi kewajipan undang-undang bagi mahkamah untuk mempertimbangkan segala keterangan yang dikemukakan sebelum memutuskan sama ada pihak pendakwaan telah membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah.
“Oleh itu, memandangkan kewajipan undang-undang untuk menilai dan membandingkan dua set keterangan. Adalah bertentangan dengan undang-undang sekiranya mahkamah ini enggan untuk meneliti isu ini semula terutamanya memandangkan Yang Arif telah memutuskan bahawa tertuduh tidak dikelirukan oleh pertuduhan sebelum beliau memberi keterangan di kandang saksi.
“Kegagalan untuk berbuat demikian akan mengesahkan bahawa keputusan tersebut telah dibuat secara pramatang dan tergesa-gesa, yang dengan sendirinya menunjukkan berlaku ketidakadilan dalam perbicaraan ini,” kata Wan Azwan Aiman.
Pada 30 Oktober 2024, Hakim Sequerah ketika membaca keputusannya di akhir kes pendakwaan antara lain menyatakan bahawa 21 pertuduhan pengubahan wang haram dan empat pertuduhan salah guna kuasa berjumlah RM2.3 bilion yang dihadapi Najib adalah sah dan betul daripada segi undang-undang.
Wan Azwan Aiman turut menghujahkan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan bahawa Najib berada di AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.
Hujahnya, pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bukti yang menunjukkan bahawa Najib pernah berada di bank tersebut atau menggunakan kedudukan atau pengaruhnya di situ dan tiada saksi dipanggil untuk memberi keterangan bagi mengesahkan perkara itu.
“Setiap pertuduhan salah guna kedudukan secara spesifik menyatakan bahawa kesalahan dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan. Bagaimanapun, pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bukti yang menunjukkan Najib berada di bank berkenaan.
“Disebabkan ketiadaan bukti yang menunjukkan Najib berada di bank itu, mahkamah sewajarnya mempertimbangkan semula dan menilai kembali pertuduhan tersebut bagi menentukan sama ada ia telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan.
“Oleh itu, kami memohon agar mahkamah ini menyemak dan menilai semula empat pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mempertimbangkannya berdasarkan pelbagai rujukan kes yang menunjukkan pertuduhan berganda atau duplicitous adalah tidak sah dan boleh menjejaskan keadilan perbicaraan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Najib didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.
Prosiding bersambung esok. – UTUSAN









