ALOR SETAR: Seorang pegawai agama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan berjumlah RM30,800 berkaitan dua program keagamaan, tahun lepas.
Tertuduh, Muhammad Suhaimi Salleh, 59, yang bertugas sebagai Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu ketika itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan di hadapan Hakim Allan Suman Pillai.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan RM11,000 dengan meluluskan pesanan kerajaan untuk program Gerakan Tumpuan Dakwah Sempena Israk Mikraj di masjid dekat Kubang Pasu walaupun mengetahui program dan pembekalan itu tidak dilakukan.
Dalam pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan jawatan sama bagi mendapatkan suapan RM19,800 selepas meluluskan pesanan kerajaan bagi Majlis Haflah Atfal Tadika Islam Peringkat Daerah Kubang Pasu yang mana beliau mempunyai kepentingan secara langsung.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu pada 23 Januari 2024.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Peguam, Ahmad Muzambir Abdul Razak yang mewakili tertuduh memohon hakim meringankan wang jaminan yang ditetapkan dengan alasan masalah kesihatan dialami anak guamnya selain kes melibatkan jumlah yang kecil.
Hakim menetapkan wang jaminan sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan tersebut dan kes akan disebut semula pada 27 November depan. – UTUSAN










