PETALING JAYA: Suasana Mahkamah Sesyen di sini bertukar tegang apabila bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari gagal mengawal perasaan selepas permohonan penangguhan hukuman isterinya, Ismanira Abdul Manaf ditolak.
Ismanira yang dijatuhkan penjara lima tahun itu memohon agar hukumannya ditangguhkan atas alasan anak keduanya memerlukan perhatian kerana mempunyai autisme.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati tiada keadaan khas yang memerlukan perkara itu dibenarkan.
Sejurus selesai prosiding mahkamah, Zaim Ikhwan dilihat seperti hilang pertimbangan dan naik angin sebelum ditenangkan bapa dan ahli keluarganya yang lain.
Hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira dijatuhkan selepas didapati bersalah mengabaikan Zayn Rayyan, dua tahun lalu.
Hukuman itu dibacakan oleh Hakim Dr. Syahliza selepas mengambil kira rayuan dan hujahan oleh kedua-dua pihak.
Ismanira turut diperintah dua tahun bon berkelakuan baik dan perintah khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas selesai tempoh pemenjaraan.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartmen Idaman antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023. – UTUSAN

 
								 
											









