Keluarga kanak-kanak maut dalam van sekolah fail saman lebih RM2 juta

Keluarga kanak-kanak maut dalam van sekolah fail saman lebih RM2 juta

NG Kian Nam (kiri) dalam sidang akhbar di Johor Bahru, hari ini. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri yang kehilangan anak tunggal mereka selepas ditinggalkan dalam van sekolah di Taman Bukit Indah, di sini, April lalu memfailkan saman berjumlah RM2.089 juta terhadap lima pihak termasuk Kementerian Pendidikan (KPM).

Teo Jia Meng dan isterinya, Yu Yue Yang memfailkan saman itu melalui firma guaman Ng Kian Nam & Partners dengan menamakan Tadika Perintis Indah, YK Educational Group Sdn. Bhd., Double Tree Transport Sdn. Bhd.; pemandu van, Yau Chee Weng, 57, dan KPM sebagai defendan.

Menurut peguam pasangan itu, Ng Kian Nam, tindakan itu diambil berikutan kecuaian semua pihak terlibat sehingga menyebabkan kematian Teo Yu Ze, 5, yang ditemukan tidak sedarkan diri dalam van yang dikunci dan ditinggalkan di hadapan tadika tersebut pada 30 April lalu.

“Defendan gagal mematuhi protokol keselamatan paling asas untuk memastikan mangsa tiba di tadika dalam keadaan selamat, selain tidak mengesahkan kehadirannya.

“Pihak tadika juga lambat memaklumkan status kesihatan kanak-kanak itu kepada ibu bapanya selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Tinggi Johor Bahru di sini, hari ini.

Kian Nam berkata, pemandu van sekolah pula didakwa cuai apabila tidak memeriksa keadaan kenderaan walaupun hanya membawa sebilangan kecil murid.

Jelasnya, saman terhadap KPM difailkan kerana didakwa gagal mengambil tindakan segera dan tegas terhadap tadika berkenaan seperti penggantungan lesen dan siasatan menyeluruh demi keselamatan murid lain.

Pasangan itu menuntut ganti rugi khas sebanyak RM59,301 dan ganti rugi am RM2.03 juta atas kehilangan anak tunggal mereka selain trauma dan penderitaan yang dialami.

Pada 7 Mei lalu, Chee Weng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Batu Pahat atas pertuduhan menyebabkan kematian kanak-kanak itu secara cuai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN