Ejen insurans dakwa dipukul, kerana dituduh curi pekerja - Utusan Malaysia

Ejen insurans dakwa dipukul, kerana dituduh curi pekerja

MOHAMAD Fazil Shafie (memakai topi) hadir di Mahkamah Majistret, Melaka bagi menghadapi perbicaraan mencederakan seorang pengurus insurans.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pengurus syarikat insurans memberitahu Mahkamah Majistret di sini, hari ini bahawa dia dimaki dan dipukul oleh seorang lelaki bergelar Datuk Seri selepas dituduh cuba mencuri pekerja tertuduh, pada November tahun lalu.

Muhammad Nur Hakim Baharudin, 31, yang juga saksi pendakwaan pertama memberi keterangan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Katanya, kejadian berlaku ketika dia sedang menemu duga seorang wanita di sebuah kafe di Taman Kota Laksamana sebelum didatangi tertuduh, Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie, 63, iaitu Pengarah Urusan Fazil Group bersama empat individu lain termasuk anak perempuannya, Nur Amalina Mohamad Fazil, 34.

“Tertuduh tiba-tiba memaki hamun saya dan memukul kepala menggunakan tangan serta topi yang dipakai hingga menyebabkan saya berasa sakit,” katanya.

Muhammad Nur Hakim berkata, wanita yang ditemu duga ketika itu merupakan pekerja di Fazil Group yang menjalankan perniagaan insurans konvensional dan berhasrat untuk beralih kerjaya kepada takaful.

Ketika sesi soal balas, peguam Bala Subramaniam yang mewakili kesemua tertuduh menyoal sama ada mangsa pernah bekerja di Fazil Group serta memperoleh pengalaman dalam bidang insurans di syarikat itu.

Menjawab pertanyaan itu, Muhammad Nur Hakim mengakui pernah berkhidmat di syarikat berkenaan, namun menjelaskan beliau tidak mempelajari kemahiran dalam bidang itu secara langsung dengan tertuduh, sebaliknya bersama rakan sekerja.

Turut didakwa ialah Nur Amalina; Amran Azmi, 33, dan dua pekerja Fazil Group, Muhammad Azrul Syafiq Rosman, 29, dan Azian Ab. Rahim, 38.

Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa mencapai niat bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di sebuah kafe di Taman Kota Laksamana kira-kira pukul 8.30 malam pada 14 November 2024.

Mohamad Fazil dan Azian turut didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah terhadap mangsa di lokasi, tarikh dan waktu sama.

Sementara itu, Nur Amalina pula mengaku tidak bersalah di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina terhadap mangsa.

Mahkamah menetapkan perbicaraan seterusnya pada 21 dan 22 Januari tahun depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN