SHAH ALAM: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan alat komunikasi tidak sah sehingga menyebabkan gangguan elektromagnetik terhadap rangkaian telekomunikasi sebuah syarikat pada November tahun lalu.
Tertuduh, Look Voon How dan Ling Siew Lung mengaku tidak bersalah selepas mendengar empat pertuduhan yang dibacakan secara berasingan ke atas mereka.
Mengikut pertuduhan, Voon How, 47, didakwa menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui iaitu set GSM Mobile tidak berjenama, model dan nombor siri sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Pemandu e-hailing itu turut dituduh menggunakan peralatan sama sehingga menyebabkan gangguan elektromagnetik pada rangkaian Maxis Sdn. Bhd. di sekitar kawasan yang dilakukannya.
Sementara Siew Lung pula dituduh bersubahat dengan Voon How untuk melakukan kedua-dua kesalahan tersebut dekat tempat letak kereta hadapan sebuah restoran di SS15, Subang Jaya pada 19 November tahun lalu.
Justeru kedua-duanya didakwa di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dan Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000.
Pertuduhan terhadap Siew Lung yang juga ahli perniagaan itu dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Bin Ab. Wahab kemudian memohon mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warga Malaysia.
Peguam Kee Wei Lin dan Ee Gen You yang mewakili kedua-dua tertuduh memaklumkan tiada halangan terhadap jumlah jaminan tersebut, namun menegaskan tertuduh memberi kerjasama baik dan tidak berisiko untuk melarikan diri.
“Kedua-dua mereka ditahan pada 19 November tahun lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis. Kemudian mereka mengambil sendiri saman pada 8 dan 21 Oktober lalu, iaitu setahun kemudian,” ujarnya.
Hakim Nor Hasniah Ab. Razak kemudian membenarkan jumlah ikat jamin sedemikian dengan seorang penjamin warganegara dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 9 Disember depan. – UTUSAN










