Zara Qairina bersumpah dia tidak mencuri

Zara Qairina bersumpah dia tidak mencuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Lima pelajar mengaku menjalankan soal siasat terhadap Allahyarham Zara Qairina Mahathir sehari sebelum remaja itu ditemukan tidak sedarkan diri di aras bawah asramanya.

Ketua warden, Azhari Abd. Sagap turut memberitahu, lima pelajar itu mengaku meminta Zara Qairina bersumpah bahawa dia tidak mencuri.

Katanya, semua pengakuan itu dibuat secara bertulis dan diserah­kan kepadanya pada 16 Julai lalu selepas Zara Qairina dihantar ke hospital.

“Pengakuan bertulis sebut pasal yang mereka siasat, suruh bersumpah, itu sahaja,” kata saksi inkues kelapan itu yang turut dipanggil Ustaz Azhari.

Sebelum menerima pe­ngakuan bertulis tersebut, Azhari semasa di Hospital Queen Elizabeth telah meminta beberapa guru untuk menjalankan siasatan.

Berdasarkan siasatan yang dijalankan, pada malam sebelum Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri, ketua dorm telah menerima aduan mengenai kehilangan barang iaitu wang, kad pengenalan dan kad bank.

Zara Qairina duduk di bilik A3-5 manakala dia dipanggil untuk disoal siasat di bilik A3-6. Setiap bilik menempatkan 11 pelajar.

“Pada malam itu (15 Julai 2025), ada pelajar tingkatan satu mengadu pada ketua dorm me­ngenai kehilangan duit, barang dan Zara dipanggil oleh ketua dorm. Zara ditanya adakah dia mencuri dan diminta untuk bersumpah ‘Wallahi’ dan Zara bersumpah Wallahi dia tidak mencuri.

“Pada masa sama (Zara Qairina disoal di bilik sebelah), ahli-ahli bilik A3-5 telah menyelongkar loker dan beg dan telah menemui pin bendera Malaysia milik ketua dorm. Ketua dorm pergi ke bilik sebelah dan bertanya lagi kepada Zara dan ada menggunakan perkataan kesat tetapi Zara tidak mengaku (mencuri).

“Selepas itu Zara masuk semu­la ke biliknya sambil menangis dan turut berteriak ‘aku tak curi bah, bodoh!’,” kata guru Bahasa Arab itu.

Tambahnya, selepas Zara Qairina menjerit, dia keluar dari bilik menuju ke tandas yang merupakan lokasi terakhir remaja itu dilihat sebelum ditemukan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri di aras bawah blok asrama berke­naan.

Ketika ditanya oleh peguam Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina, siapakah pelajar yang membuat pengakuan tersebut?, Azhari memberitahu empat daripadanya adalah pelajar yang didakwa membuli remaja tersebut dan seorang lagi pelajar tingkatan empat.

Dalam pengakuan tersebut, pengadu barang hilang memberi­tahu, dompetnya yang hilang telah ditemukan di sekolah pada petang 15 Julai lalu tetapi ia tidak dipulangkan kepadanya pada hari berkenaan. Ketika dipu­langkan, dompet berkenaan tidak mempunyai sebarang isi.

Prosiding inkues kematian Zara Qairina yang memasuki hari kelapan bersambung hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN