Bicara kes saman fitnah Abdul Kadir, Aliff Syukri selesai - Utusan Malaysia

Bicara kes saman fitnah Abdul Kadir, Aliff Syukri selesai

PEMPENGARUH dan ahli perniagaan, Datuk Aliff Syukri Kamaruzaman ketika hadir sesi perbicaraan berhubung kes saman fitnah yang difailkan oleh Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman fitnah selama tiga hari membabitkan bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman berakhir, hari ini.

Perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Roslan Mat Nor di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini selesai selepas Aliff Syukri, 39, memberi keterangan serta disoal jawab oleh peguam plaintif.

Dalam prosiding itu, hakim menasihatkan kedua-dua pihak tidak membincangkan kes berkenaan di mana-mana platform media sosial atau pihak media.

Ia sehingga keputusan kes dibuat, selepas plaintif memfailkan permohonan menghina mahkamah dan larangan bersuara terhadap defendan.

“Saya juga memohon agar arahan yang sama terpakai kepada pihak plaintif. Kedua-dua pihak, sama ada plaintif mahupun defendan, dinasihatkan agar tidak mengulas atau membincangkan perkara ini di ruang awam.

“Tujuannya adalah supaya mahkamah dapat memutuskan kes ini berdasarkan keterangan dan bukti yang dikemukakan di hadapan mahkamah dan bukannya berdasarkan fakta-fakta lain,” katanya.

Aliff Syukri selaku defendan diwakili oleh peguam-peguam bela, Zulfahmi Abu Bakar, Mohd Tajudin Abd Razak dan Shah Nurul Afzan Abdullah manakala, Abdul Kadir diwakili oleh peguam bela, S. Ravichandaran.

Mahkamah menetapkan 9 dan 30 Mac ini bagi pemfailan hujahan dan 29 April ini untuk pendengaran dan hujahan lisan kedua-dua belah pihak sebelum keputusan diputuskan.

Abdul Kadir, 86, memfailkan saman pada 6 September 2023 dengan mendakwa Aliff Syukri mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif di Instagram dan Facebook pada 2 Julai 2023.

Plaintif mendakwa kenyataan tersebut membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan berjuta ringgit selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan itu mengundang komen negatif daripada pembaca.

Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah itu.

Sementara Aliff Syukri pula menerusi pernyataan pembelaannya mendakwa beliau telah membuat bayaran pelaburan sebanyak RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usahasama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat.

Dakwanya, pihak-pihak di dalam perjanjian usahasama gagal membuat pembayaran wang yang telah dilaburkan selain segala pelanggaran-pelanggaran janji sedemikian termasuklah aku janji yang diberikan plaintif kepadanya adalah di dalam pengetahuan plaintif sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN