160,000 kompaun dikeluarkan atas kesalahan Akta Kawalan Rokok - Utusan Malaysia

160,000 kompaun dikeluarkan atas kesalahan Akta Kawalan Rokok

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 160,839 kompaun telahpun dikeluarkan mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan berkata, sehingga 30 November 2025, sebanyak 25,643 aktiviti penguatkuasaan telah dijalankan dengan 496,247 premis telah diperiksa di seluruh negara.

Menurutnya, daripada keseluruhan kompaun yang dikeluarkan, sebanyak 67 kes melibatkan orang belum dewasa (OBD) membeli rokok, manakala 137,568 kes berkaitan merokok di kawasan larangan, 4,886 kes OBD merokok, dan 18,318 kes melibatkan tuan punya bangunan atau penghuni.

“Manakala sebanyak 2,352 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan tidak boleh dikompaun.

“Akta 852 itu telah dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024 dengan pelaksanaan penuh bermula 1 Oktober 2025.

“Oleh itu, Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) telah dilancarkan bagi menunjukkan komitmen KKM serta memperkukuh aktiviti penguatkuasaan di bawah akta berkenaan,” katanya.

Katanya, operasi itu memberi fokus utama kepada aktiviti pengilangan, pengedaran dan penjualan semua jenis produk merokok, bertujuan untuk melindungi generasi muda daripada bahaya produk merokok, termasuk rokok elektronik dan vape yang semakin berleluasa.

Tambahnya lagi, bagi tindakan pendakwaan di mahkamah, sebanyak 58 kes telah
selesai dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM394,700.00.

“Untuk kes hukuman terkini, Mahkamah Majistret Putrajaya telah mensabitkan kesalahan kepada Shamira bin Mohamad Shuib atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu atas kesalahan di bawah Seksyen 9(1) Akta 852 mempromosikan produk merokok melalui Dol’s Podcast di pautan YouTube.

“Pelanggaran Akta 852 ini telah dikesan oleh pihak KKM pada 22 Oktober 2024 yang lalu. Keputusan penghakiman bagi kesalahan ini adalah hukuman denda sebanyak RM10,000 atau 1 tahun penjara jika gagal membayar denda.

“KKM memaklumkan bahawa, tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan merupakan pilihan terakhir. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama mematuhi Akta 852 demi untuk mencegah penyakit dan seterusnya mencapai tahap kesihatan yang optimum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×