Seorang remaja didakwa pembuli tiada di sekolah, hari Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri - Utusan Malaysia

Seorang remaja didakwa pembuli tiada di sekolah, hari Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ketua warden yang juga guru Bahasa Arab, Azhari Abd. Sagap yang mengajar Allahyarham Zara Qairina Mahathir, ketika menjawab soalan peguam Abdul Fikry Jaafar meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap tindakan netizen menularkan gambar beberapa pelajar yang tidak terlibat dengan kejadian tersebut.

Ini susulan tular beberapa nama yang dikaitkan dengan kematian Zara Qairina yang mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan warga maya.

“Pada masa kejadian, pelajar ini tiada pun di sekolah. Dia dibawa oleh seorang guru, Cikgu Amit Hamid ke Perlis untuk satu program. Saya (juga) perlu tegaskan, pelajar yang menemui Zara pada pagi itu bukan Kak M. Tetapi kenapa dia dikecam, kenapa gambar dia yang ditularkan.

“Hampir setiap tahun saya bawa dia (sebagai) peserta hafazan. Kecaman terhadap pelajar itu kejam. Kalau bukan dia yang menemui Zara, mungkin Zara akan kehilangan nyawa di situ (di lokasi remaja itu ditemui),” katanya.

Azhari turut menafikan dia dan pihak sekolah cuba melindungi pembuli remaja terbabit.

“Kalau saya, sekolah ingin tutup, kenapa saya ceritakan segalanya kepada polis. Saya ceritakan semua kejadian (polis) sebelum ibu Zara buat laporan polis. Saya yang bocorkan kepada polis siapa Kak M, Kak C. Saya yang bagi audio Kak M kepada polis.

“Saya kenal Zara, saya yang ajar Zara. Saya tersentuh sebab Zara ada sebut subjek saya dalam diarinya. Selepas ditegur, Zara mula pakai handsock (sarung lengan), saya ingat lagi, handsock Zara warna putih, putih. Saya baca diari Zara, saya tahu deritanya Zara sebab itu segala yang keluar berkaitan Zara, saya ambil tahu.

“Saya ada, saya tunggu sampai Zara dicabut mesin, saya tunggu Zara di forensik, saya ikut solat jenazah. Saya dikecam hanya kerana saya pengadu, logik kah?,” katanya sambil teresak-esak.

Rakaman audio yang tular adalah rakaman suara berdurasi 44 saat perbualan antara Zara Qairina dan ibunya, Noraidah Lamat yang mana remaja terbabit meluahkan rasa takut terhadap seorang pelajar senior dikenali sebagai ‘Kak M’.

Selain itu, Azhari turut mempertikaikan perilaku Noraidah.

“Siasatan sekolah mendapati kisah Kak M bermula bulan lima (Mei). Kenapa ibu Zara tidak pernah lapor apa-apa kepada sekolah? Itu persoalan saya. Kalau tiada aduan daripada Zara, kenapa ibu Zara sendiri tidak melaporkan kepada sekolah. Ini tidak ada langsung (aduan),” kata Azhari.

Tambahnya, sewaktu berjumpa di Hospital Queen Elizabeth, selepas Zara Qairina dibawa untuk mendapatkan rawatan, Noraidah juga tidak pernah menimbulkan isu anaknya dibuli oleh sesiapa, sebaliknya hanya meminta diari dan menyatakan ‘Zara ceria-ceria saja’.

Menurut Azhari, dia hanya mengetahui isu buli selepas Noraidah membuat hantaran di platform TikTok.

Prosiding bersambung pukul 2.30 petang ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN