Hampir 3 juta tiada perlindungan Perkeso

Hampir 3 juta tiada perlindungan Perkeso

MAJLIS pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Perkeso dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang di Pejabat Perkeso Pulau Pinang di George Town, semalam. – UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Hampir tiga juta individu pekerja sendiri di negara ini tidak dilindungi oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Lindung Kendiri.

Data Perkeso menunjukkan, setakat 23 Januari lalu, hanya kira-kira 10 peratus atau 325,008 daripada 3.26 juta individu bekerja sendiri di negara ini mempunyai caruman aktif di bawah Skim Lindung Kendiri pertubuhan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, situasi itu menuntut kerjasama rentas agensi bagi memastikan kelangsungan sosioekonomi golongan rentan termasuk peniaga dan penjaja kecil.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, statistik se­masa turut merekodkan, se­ra­­mai 15,021 Orang Bekerja Sendiri (OBS) berdaftar di Pulau Pinang, sekali gus menunjukkan masih banyak ruang untuk meningkatkan penyertaan dalam skim perlindungan sosial berkenaan.

“Daripada jumlah itu, sektor penjaja di Pulau Pinang menyumbang 13.17 peratus atau 5,053 OBS daripada keseluruhan penjaja yang mencarum di seluruh negara.

“Justeru, menyedari keperluan kritikal ini, Perkeso hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi memperkukuh ja­ringan keselamatan sosial khususnya dalam sektor penjaja dan peniaga kecil.

“Pemeteraian MoU ini diharap menjadi dasar sama kepada 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk memperkasa ekonomi informal,” katanya pada majlis itu, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawa­tankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye dan Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir. A. Rajendran.

Berdasarkan maklumat, Skim Lindungi Kendiri Perkeso melindungi individu yang bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan, termasuk penyakit khidmat atau kemalangan semasa aktiviti ekonomi.

Caruman wajib bagi sektor tertentu, manakala lain-lain adalah sukarela, dengan perlindungan merangkumi 20 sektor.

Skim itu menawarkan faedah termasuk perubatan, hilang upaya sementara atau kekal, pemulihan dan faedah pengurusan mayat RM3,000.

Mohammed Azman berkata, caruman Lindung Kendiri tidak wajar dilihat sebagai beban kewangan sebaliknya merupakan pelaburan kese­lamatan yang menjadi talian hayat sekiranya pencarum di­timpa musibah.

Katanya, sepanjang tahun lalu sahaja, Perkeso menyalurkan faedah berjumlah RM31.25 juta kepada 7,693 pencarum Skim Lindung Kendiri di seluruh negara dan daripada jumlah itu, seramai 424 individu bekerja sendiri di Pulau Pinang menerima manfaat perlindungan tersebut ketika berdepan insiden tidak diingini.

Tambah beliau, kerajaan melalui Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 (D3PKN2030) kini turut memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan capaian dan ke­sedaran berkaitan kepentingan perlindungan sosial.

Sementara itu, Pulau Pinang sedang mengkaji kemungkinan mewajibkan penjaja dan peniaga kecil mencarum di bawah Skim Lindung Kendiri Perkeso sebagai syarat tambahan bagi mendapatkan lesen perniaga­an pada masa depan.

Mooi Lye berkata, langkah itu dilihat penting bagi memastikan golongan penjaja mempunyai perlindungan ke­­bajikan sekiranya berlaku per­kara tidak diingini semasa bekerja.

Menurutnya, perbincangan berkaitan pelaksanaan skim tersebut telah bermula sejak beberapa tahun lalu termasuk sesi bengkel dan taklimat melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Perkeso.

“Sejak 2024, kita sudah ada bengkel di bawah Perkeso untuk memberi taklimat kepada MBPP dan MBSP mengenai program perlindungan ini. Ke­rajaan negeri bersama PBT akan meneliti peraturan sedia ada termasuk kemungkinan me­ngaitkan caruman tersebut dengan syarat lesen dan permit perniagaan.

“Jadi, pada masa depan, kita akan kaji kemungkinan menjadikannya (skim Lindung Kendiri) syarat wajib untuk mendapatkan lesen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN