PETALING JAYA: Kedudukan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menjadi tanda tanya susulan perpecahan dalaman parti yang semakin meruncing.
Walaupun kedudukan beliau tidak dibincangkan dalam pertemuan pemimpin Bersatu dengan Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin kelmarin, ia terus menjadi persoalan apabila sumber memberitahu, Hamzah bakal dipecat dalam masa terdekat.
Ia dikuatkan lagi dengan desakan tiga ketua Bersatu negeri iaitu Negeri Sembilan, Johor dan Perak agar Ahli Parlimen Larut itu dipecat daripada parti atas alasan telah hilang kepercayaan terhadap beliau.
Dalam surat tersebut yang dilihat oleh Utusan Malaysia, mereka turut menggariskan 15 alasan mengapa Hamzah perlu berundur serta-merta daripada jawatan Timbalan Presiden.
“Antaranya, Hamzah gagal menghentikan dan membendung tindakan penyokong-penyokongnya yang berterusan melanggar perlembagaan parti serta disiplin organisasi.
“Malah, beliau juga didakwa terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam gerakan yang mencetuskan kekacauan semasa Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2025,” kata surat tersebut.
Mereka turut mendesak Lembaga Disiplin menyegerakan semua siasatan, prosiding dan keputusan disiplin terhadap individu-individu yang didakwa melanggar perlembagaan parti.
Sementara itu, sumber dalaman Bersatu memberitahu Utusan Malaysia, langkah pemecatan Hamzah dan beberapa individu lain adalah untuk membersihkan parti daripada anasir-anasir pemecah-belah dan mengukuhkannya kembali bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Hamzah memang akan dipecat, mungkin dalam masa terdekat ini. Bukan Hamzah sahaja, akan ada dua tiga orang lagi akan berdepan tindakan sama. Pemecatan tersebut akan `mencuci’ semula Bersatu yang sebelum ini berdepan pelbagai masalah dalaman.
“Kesan pemecatan itu mungkin ada, namun sebagai pemimpin berpengalaman, Muhyiddin mampu untuk mengawal keadaan sekali gus kembali mengukuhkan parti menjelang pilihan raya dalam masa terdekat,” katanya.
Kata sumber itu lagi, tindakan tersebut diambil untuk kembali mengharmonikan Bersatu.
“Bagi saya, Presiden telah ambil langkah untuk kembali mengharmonikan parti. Parti perlu kembali kukuh selepas pembersihan ini,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Lembaga Disiplin parti telah ‘diperkuda’ pihak tertentu untuk memburu Hamzah.
Ia susulan tindakan Lembaga Disiplin Bersatu mengeluarkan satu surat kepada Hamzah untuk memberi keterangan berhubung empat aduan disiplin, antaranya berhubung dakwaan beliau terlibat dalam komplot untuk mengganggu dan mensabotaj perjalanan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (PAT) 2025.
Dakwaan tersebut bagaimana dinafikan oleh Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dengan alasan pelantikan Pengerusi Lembaga Disiplin telah diluluskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Sementara itu, dua Ahli MPT Bersatu dari Pahang iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin dan ADUN Lepas, Mohd. Yazid Mohd. Yunus, menggesa Hamzah tampil menafikan secara tegas penglibatan beliau dalam sebarang gerakan menyerang dan memperlekeh kepemimpinan parti.
Dalam kenyataan bersama, mereka turut meminta Hamzah membuat pendirian terbuka, menyokong Presiden tanpa syarat dan menghentikan kekaburan atau berani berdepan tindakan jika terbukti melanggar Perlembagaan parti tersebut.
Setakat ini, usaha untuk mendapatkan reaksi daripada Hamzah yang dikatakan berada di luar negara, masih gagal. – UTUSAN










