KOTA KINABALU: Beberapa minggu selepas Zara Qairina Mahathir ditemukan tidak sedarkan diri di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, salah seorang pelajar yang didakwa membuli remaja terbabit berpindah sekolah.
Bagaimanapun, ketua warden, Azhari Abd. Sagap tidak mengetahui alasan pelajar itu berpindah.
Selain itu, Azhari yang juga guru Bahasa Arab di sekolah berkenaan memberitahu, seorang lagi pelajar yang turut didakwa di Mahkamah Kanak-kanak atas pertuduhan serupa tidak lagi tinggal di dorm yang sama kerana trauma.
Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh peguam Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina.
Pada 20 Ogos lalu, lima remaja perempuan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina. Bagi tujuan inkues ini, kelima-lima pelajar ini dinamakan sebagai A, B, C, D dan E.
Shahlan: Saya difahamkan pelajar A telah berpindah sekolah?
Azhari: Ya.
Shahlan: Saya difahamkan, pelajar-pelajar sekolah tidak dibenarkan untuk pindah sekolah, macam mana boleh pindah sekolah?
Azhari: Itu bukan bidang tugas saya.
Shahlan: Bila A pindah sekolah?
Azhari: Saya tidak pasti tapi beberapa minggu selepas kejadian.
Shahlan: Tahu apa alasan pindah?
Azhari: Tidak tahu.
Shahlan: B, C, D dan E masih di SMKA Tun Datu Mustapha?
Azhari: Ya.
Shahlan: Saya andaikan B,C,D dan E masih lagi ketua dorm?
Azhari: D dan C bukan ketua dorm, B dan E yang ketua dorm. Tetapi lepas kejadian, E bukan lagi ketua dorm sebab dia beritahu dengan kejadian itu dan dia tidak boleh lagi menginap di bilik itu. B saya tak pasti (sama ada masih ketua dorm atau tidak).
Prosiding yang memasuki hari kesembilan masih lagi berlangsung. – UTUSAN










