Tertuduh dinasihat pertimbang hasrat tukar pengakuan

Bunuh, bakar kekasih hamil: Tertuduh dinasihat pertimbang hasrat tukar pengakuan

Bunuh bakar kekasih
MUHAMMAD FAKRUL AIMAN SAJALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menasihatkan seorang pemuda mempertimbangkan hasrat menukar pengakuan bersalah atas pertuduhan membunuh dan membakar kekasih hamilnya di Sabak Bernam, dua tahun lalu.

Hakim Norliza Othman meminta tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 22, mengetahui terlebih dulu status representasi yang dikemukakan supaya diteliti terlebih dahulu oleh pihak pendakwaan termasuk sekiranya wujud pindaan pertuduhan atas kesalahan seksyen lain.

“Fikir sedalam-dalamnya dan tidak semudah itu mahu mengaku salah kecuali kalau ada pertuduhan pilihan lain. Sekarang, ia adalah pertuduhan asal.

“Ada dua hukuman sahaja berdasarkan pertuduhan asal (Seksyen 302 Kanun Keseksaan), Gantung atau hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun. Justeru, bincang baik-baik dengan peguam,” katanya.

Justeru, mahkamah menetapkan 29 September depan sebagai tarikh keputusan representasi di hadapan Timbalan Pendaftar Mohd. Hirman Ab. Raub.

Terdahulu, Peguam Muhammad Nor Tamrin memberitahu pihaknya menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara termasuk hasrat Muhammad Fakrul menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan asal dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashiqin Zulkifli bagaimanapun memohon tarikh baharu bagi keputusan representasi itu bagi melakukan semakan lanjut.

Prosiding hari ini, pengurusan akhir kes dengan tarikh perbicaraan sepatutnya ditetapkan selama 15 hari pada Februari dan Mac tahun depan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Fakrul didakwa melakukan kesalahan bunuh terhadap seorang wanita berusia 21 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar di sini, kira-kira pukul 8.30 malam 22 Mei sehingga pukul 8 pagi, 23 Mei 2023.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang lelaki bertindak kejam membunuh dan membakar teman wanitanya.

Tindakan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan suspek sebanyak dua kali selepas berlaku perselisihan faham berkaitan menyembunyikan kehamilan luar nikah mangsa.

Selain memukul dan menoreh perut pelayan restoran itu, suspek dipercayai sempat membeli minyak petrol di stesen minyak untuk membakar mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×