Tiga lelaki mengaku melakukan pemujaan salah

Tiga lelaki mengaku melakukan pemujaan salah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Tiga lelaki mengaku bersalah melakukan upacara pemujaan tarian kuda kepang di Mahkamah Rendah Syariah Batu Pahat di sini, hari ini.

Ketiga-tiga tertuduh, Azman Mohamed Seh,45; Muhammad Suhai Suttry Sono,35; dan Anuar Bandi,40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan penterjemah Mahkamah dihadapan Hakim Syarie Shazwan Mohd Yusof.

Mereka dtuduh melakukan pemujaan salah yang bertentangan dengan syarak pada 10 Ogos, pukul 10 malam hingga 11 Ogos, pukul 1 pagi di Jalan Pasar, Parit Raja di daerah ini.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Suhail, seorang pengawal keselamatan dan Azman, mekanik motosikal, didakwa melakukan upacara bertentangan dengan hukum syarak.

Anuar pula didakwa bersubahat dengan bermain alat muzik ketika upacara tersebut dijalankan.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana melakukan kesalahan berhubung dengan akidah.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Ketua Pendakwa Syariee Ahmad Wafi Abdullah memohon agar tertuduh dikenakan hukuman berat kerana melibatkan akidah dan pernah dinasihatkan untuk berhenti daripada melakukan upacara tersebut.

Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dengan dua penjamin ahli keluarga bermastautin di Batu Pahat dan menetapkan 2 September ini untuk sebutan semula bagi hukuman.

Difahamkan, semua tertuduh ditahan di Parit Raja pada pukul 4 petang Jumaat lalu dengan pihak berkuasa merampas kemenyan, tepak, alat muzik serta kuda kepang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×