SEREMBAN: Seorang pekerja kopitiam warga tempatan dan empat lelaki warga Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki barang kawalan gas petroleum cecair (LPG) secara haram pada 22 Ogos lalu.
Namun, dalam prosiding kes, tertuduh warga tempatan, Chong Ming Fei, 28, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas pertuduhan dibacakan.
Tiada pengakuan diambil daripada empat warga Myanmar, Mang Zaw, Aung, Naing dan Lin kerana mereka tidak memahami Bahasa Melayu.
Mengikut pertuduhan, lima tertuduh bersama-sama seorang yang masih bebas telah ada dalam milikan mereka barang berjadual iaitu 25,070 kilogram LPG yang dijumpai dalam 1,255 tong LPG di atas semi trailer dan pelantar selain dalam tangki semi trailer dan tangki statik.
Ia dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah telah melakukan kesalahan melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan LPG secara borong tanpa lesen.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 4 pagi di sebuah premis tanpa nama di Jalan Tampin-Senawang, di sini pada 22 Ogos lalu.
Dalam pada itu, Ming Fei tidak mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan selaku pemilik tunggal sebuah syarikat telah memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 36,471 liter tanpa suatu lesen yang sah.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang 5 petang di Lot Tanpa Nombor, Jalan Nilam 2, Kawasan Perindustrian Ringan Nilai dekat Rantau di sini pada 14 Mei lalu.
Pendakwaan terhadap kesemua tertuduh dibuat mengikut Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan bagi individu boleh dihukum denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Nor Alimah Mohd. Sanusi menawarkan jaminan tinggi terhadap tertuduh iaitu sebanyak RM20,000 memandangkan kes hari ini melibatkan barang kawalan LPG selain faktor risiko tertuduh melarikan diri dan kepentingan awam.
Menurut Nor Alimah, tertuduh warga tempatan, Ming Fei pernah dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pada Mei lalu atas pertuduhan sama memiliki LPG secara haram.
Nor Alimah turut memohon pertuduhan dibacakan terhadap empat lelaki warga Myanmmar dengan kehadiran jurubahasa pada tarikh sebutan akan datang.
Mahkamah kemudian membenarkan Ming Fei dijamin sebanyak RM18,000 bagi dua pertuduhan manakala empat lelaki warga Myanmar masing-masing dijamin RM15,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia.
Semua tertuduh juga perlu mematuhi syarat tambahan dengan melapor diri di Pejabat KPDN sebulan sekali, menyerahkan pasport dan tidak menganggu saksi.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 16 Oktober depan. – UTUSAN










