PETALING JAYA: Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat memohon untuk dideklarasikan sebagai `orang berkepentingan’ dalam prosiding inkues kematian anaknya itu.
Peguam yang mewakili Noraidah, Hamid Ismail berkata, permohonan tersebut telah difailkan di Mahkamah Koroner pada 19 Ogos lalu.
“Dalam permohonan itu, kami memohon agar anak guam kami dibenarkan terlibat dalam prosiding inkues termasuk memeriksa dan menyoal balas saksi, meneliti dokumen serta membawa saksi dan dokumen tambahan bagi membantu koroner,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamid berkata, pihaknya turut memohon agar diberikan salinan dokumen relevan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum prosiding bermula.
“Permohonan itu ditetapkan untuk pendengaran di hadapan Koroner pada 28 Ogos ini pada pukul 9 pagi,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, bulan lalu.
Mereka didakwa dalam mencapai niat bersama telah menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, 13, yang mana perkataan tersebut didengari oleh mangsa yang mungkin menyebabkan pelajar itu terganggu dengan perkataan tersebut.
Kelima-lima pelajar didakwa melakukan perbuatan itu di blok Asrama Rabiatul Adawiyah Dorm A-3-6, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan W.D.T 15, Papar, Sabah antara pukul 10 malam dan 11 malam pada 15 Julai lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu SMKA Tun Datu Mustapha di Sabah ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada jam 3 pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari selepas itu. – UTUSAN








