ALOR GAJAH: Seorang pemandu lori didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan mencuri buah kelapa sawit seberat 540 kilogram (kg), dua minggu lalu.
Majistret Dr. Teoh Shu Yee membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, M. Vijaya Kumar, 36, sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri buah kelapa sawit seberat 540 kg yang diusahakan oleh syarikat Mengkuang Jaya Sdn. Bhd. (pemajak tanah) di ladang kelapa sawit lot 47, mukim Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah kira-kira pukul 11 pagi hingga 4 petang antara 14 Ogos dan 17 Ogos 2025.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal manakala tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), merayu dikenakan denda rendah tanpa hukuman penjara kerana bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
Mahkamah kemudian mendenda tertuduh sebanyak RM4,000 atau gagal bayar, enam bulan penjara. Tertuduh membayar denda berkenaan. – UTUSAN










