SHAH ALAM: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerusi Facebook (FB) pada Januari lalu.
Tertuduh, Suhaila Abd. Halim, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada enam anak itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya ke atas Yang di-Pertuan Agong dengan menggunakan aplikasi iaitu akaun FB ‘Suhaila Halim’.
Hantaran dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain itu dilihat di Hospital Sungai Buloh, kira-kira pukul 8.30 pagi, 5 Januari lalu.
Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Mohamad Azmir Mohd. Razali mencadangkan kos ikat jamin tertuduh berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin.
Suhaila yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu pengurangan kos kepada RM500 kerana hanya suaminya bekerja dan mempunyai pendapatan.
Norazlin kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu saksi sehingga prosiding kes selesai.
Sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam ditetapkan pada 17 September depan. – UTUSAN