KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa keputusan Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonan isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin untuk merujuk beberapa persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi adalah satu bentuk ketidakadilan yang serius.
Peguam bela, Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar yang mewakili Toh Puan Na’imah Abdul Khalid berhujah bahawa keputusan bertarikh 18 Februari lalu itu secara tidak langsung telah menafikan hak anak guamnya dalam mendapatkan kepastian dalam undang-undangnya.
Menurut peguam itu, ketidakadilan itu wajar diperbetulkan bagi menjamin integriti sistem kehakiman.
Peguam itu juga berhujah bahawa keputusan Mahkamah Sesyen menunjukkan berlaku salah faham yang jelas dari sudut undang-undang dan prosedur.
“Mahkamah gagal menangani persoalan undang-undang yang menjadi inti pati kepada kes ini dengan sewajarnya, sekali gus menafikan hak asasi pemohon untuk mendapatkan penjelasan yang sah dari sudut perundangan,” kata peguam itu ketika berhujah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy.
Selain itu, Gurdial menjelaskan, anak guamnya menerima notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 untuk mendedahkan maklumat berhubung aset miliknya dan telah memberi kerjasama sepenuhnya.
“Beliau bukan suspek dalam siasatan, sebaliknya hanya dipanggil sebagai saksi dalam siasatan terhadap Allahyarham suaminya.
“Namun SPRM tetap memulakan pertuduhan terhadap beliau, mungkin kerana tidak mempunyai maklumat yang cukup untuk mendakwa Allahyarham Tun Daim. Ini menjadikan tindakan itu seolah-olah bermotif balas dendam.
“Pertuduhan terhadap Na’imah juga bersifat teknikal semata-mata dan berkemungkinan besar dibuat sebagai tindak balas oleh SPRM,” kata peguam itu.
Pada 29 Februari 2024, Na’imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang membabitkan Seksyen 30(5), Seksyen 36(2) dan Seksyen 62 Akta SPRM serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ke Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen menolak permohonan itu atas alasan tiada isu perlembagaan berbangkit dan permohonan tersebut tidak mempunyai merit.
Pada 23 Januari 2024, Na’imah didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis isytihar harta termasuk pemilikan Menara Ilham dan beberapa aset lain di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Hakim Muniandy menetapkan 11 Julai ini bagi menyambung hujahan berhubung permohonan itu. – UTUSAN