JOHOR BAHRU: Tiga pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa Imigresen bagi melindungi pekerja warga asing di pusat hiburan di Kluang, lima bulan lalu.
Tertuduh, Gan Chi Qian, 25, Lai Yee Keong, 42, dan Wong Kent Sing, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama-sama memberi suapan iaitu wang tunai RM25,000 kepada Timbalan Penolong Pengarah Imigresen di Bahagian Penguatkuasaan Negeri Johor ketika melakukan Op Gegar di sebuah pusat hiburan di Kluang sebagai balasan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lima pekerja warga asing di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, iaitu melanggar syarat pas.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 4.30 pagi di Pejabat Unit Tindakan, Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen Negeri Johor di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Taman Setia Tropika, di sini 11 Januari lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai satu perempat daripada tempoh pemenjaraan yang lama sekali diperuntukkan bagi kesalahan itu atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fazal Lisam Abidin, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Dr. Abraham Mathew.
Pihak pendakwaan mencadangkan setiap tertuduh dibenarkan diikat jamin dengan jumlah RM15,000 dengan seorang penjamin, namun Abraham memohon supaya kesemua anak guamnya yang mempunyai pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan diberikan jaminan minimum, iaitu RM5,000 setiap seorang.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN