PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan Sisters in Islam (SIS) Forum berhubung pertikaian menyentuh fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor tidak membatalkan keseluruhan fatwa.
Sebaliknya, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan yang terperinci dengan mengesahkan sebahagian dan mengetepikan sebahagian yang lain.
“Bahagian fatwa yang disahkan (kekal sah) adalah merujuk Perenggan 1 fatwa, iaitu setakat mana ia menyatakan ‘mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam’
“Selain itu, Perenggan 4 fatwa, yang menyatakan ‘mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam’.
“Manakala bahagian fatwa yang diketepikan (tidak sah) adalah membabitkan pemakaian fatwa tersebut kepada SIS Forum (Malaysia) sebagai sebuah pertubuhan, institusi atau syarikat.
“Perenggan 2 fatwa, yang menyentuh pengharaman dan rampasan bahan terbitan serta Perenggan 3 fatwa, yang mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat laman-laman sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, mahkamah memberikan alasan-alasan munasabah bagi keputusan itu membabitkan tafsiran ‘Orang yang Menganut Agama Islam’.
“Alasan utama fatwa tidak boleh terpakai kepada SIS Forum sebagai sebuah syarikat adalah kerana mahkamah mentafsirkan frasa Perlembagaan ‘persons professing the religion of Islam’ sebagai merujuk hanya kepada manusia sebenar (natural persons), bukan entiti buatan seperti syarikat atau pertubuhan (artificial persons).
“Selain itu, mahkamah menjelaskan bahawa sebuah syarikat, sebagai entiti buatan, tidak mempunyai kapasiti untuk melaksanakan Rukun Islam seperti melafazkan kalimah Syahadah, solat, puasa, atau menunaikan haji.
“Dalam konteks yang sama, sebuah syarikat tiada kapasiti untuk bertaubat seperti yang dituntut oleh Perenggan 4 fatwa,” katanya.
Selain itu, keputusan mahkamah juga mendapati tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor melangkaui Bidang Kuasa Negeri.
“Mahkamah mendapati Perenggan 2 dan 3 fatwa adalah tidak sah kerana Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubalnya.
“Perkara berkaitan pengharaman penerbitan (Perenggan 2) adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Selain itu, perkara berkaitan sekatan kandungan internet (Perenggan 3) adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan melibatkan agensi Persekutuan (SKMM),” katanya.
Muhamad Hisham berkata, keputusan itu juga tidak membebaskan syarikat atau institusi terhadap gerakan sesat memandangkan ia tetap mempunyai kebertanggungjawaban individu.
“Mahkamah menegaskan bahawa walaupun fatwa tidak terpakai kepada syarikat, individu-individu yang menggerakkan syarikat atau pertubuhan itu tetap terikat dengan fatwa tersebut di bawah Perenggan 1 dan 4.
“Oleh itu, tidak timbul isu syarikat atau institusi boleh terlepas tanpa bertanggungjawab, kerana kebertanggungjawaban terletak di bahu individu-individu di dalamnya,” katanya.
Katanya, keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan bahawa teras teologi fatwa yang menyentuh akidah individu Muslim adalah sah dan berkuat kuasa.
“Pembatalan hanya berlaku pada aspek-aspek yang melangkaui bidang kuasa Perlembagaan negeri dan pemakaiannya kepada entiti bukan manusia,” katanya. – UTUSAN