SEREMBAN: Seorang lagi suspek bergelar ustaz direman sehari hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes 47 jemaah warga emas ditipu ejen haji tempatan.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Saiful Sayoti bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan penipuan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, penahanan lelaki berusia 58 tahun itu menjadikan jumlah tangkapan setakat ini ialah dua orang.
Menurutnya, suspek terbaharu ini merupakan seorang tenaga pengajar di sebuah madrasah di Johor.
“Suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada pukul 3.30 petang semalam,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun direman empat hari bagi kes sama.
Terdahulu, dilaporkan hasrat 47 jemaah warga emas untuk menunaikan haji bertukar mimpi ngeri apabila ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan.
Jemaah yang terpedaya dengan janji manis mendakwa dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Mekah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tiada visa haji.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, siasatan masih diteruskan dan berkemungkinan lebih ramai individu akan dipanggil bagi membantu siasatan. – UTUSAN